Umpama lapang sasar, peluru kecaman ditembak bertubi-tubi ke arah penyanyi dan komposer sensasi, Hael Husaini, 34, sejak akhir-akhir ini.
Setiap gerak geri atau perbuatan dilakukan, ada sahaja komen negatif dilemparkan sama ada dalam menjalani kehidupan seharian mahupun paparan media sosial. Selepas isu penampilan persis bintang K-Pop jadi buah mulut, terkini komen ditinggalkan penyanyi lagu Jampi dan Haram dalam Instagram (IG) milik aktor kacak dari Thailand, Gulf Kanawut yang pernah membintangi drama yang mengangkat hubungan sejenis turut mengundang spekulasi nakal netizen. Namun, Hael terus mengunci mulut memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan sehingga hari ini.
Mengulas penampilannya seperti bintang K-Pop sehingga ada yang mendakwanya menggunakan teknologi moden demi untuk mendapatkan bentuk wajah dan kulit putih melepak seperti 'oppa', Hael enggan mengulas perkara itu. Sebaliknya, penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mendedahkan, gaya dan penampilannya ditentukan oleh penata gaya.
"Jujurnya, saya memang tidak pandai berfesyen atau melaram. Imej dan penampilan saya semuanya ditetapkan penata gaya. Jadi, lebih baik saya serahkan pada pakar. "Dengan adanya bantuan penata gaya, peluang untuk saya bekerjasama dengan jenama antarabangsa semakin terbuka luas. "Saya pun tidaklah terlalu obses dengan kecantikan. Cuma, sebagai selebriti, saya kena sentiasa menjaga penampilan," katanya kepada BH Online.
Berhubung isu komen dalam IG Gulf Kanawut yang tular, baru-baru ini, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu memilih untuk mengunci mulut. "Saya tak nak jawab," kata Hael ringkas. Disebabkan sering dihambat kontroversi, timbul juga dakwaan Hael cuba mengelak daripada ditemubual media berikutan tindakannya tidak menjawab panggilan dan membalas mesej dihantar. Saat diajukan pertanyaan itu kepada empunya diri, Hael menepis dakwaan dengan menegaskan tidak pernah mempunyai masalah dengan wartawan.
"Rakan wartawan masih kawan saya. Alasan kenapa sukar dihubungi kerana saya sudah empat tahun tidak mempunyai telefon bimbit. "Saya juga jarang menggunakan media sosial. Segala kemas kini dalam media sosial diuruskan syarikat pengurusan. Jadi, sebarang urusan temubual juga diuruskan mereka. "Saya selesa cara ini kerana mereka hanya memaklumkan perkara penting yang membabitkan soal kerja.
"Segala komen negatif juga akan tapis. Bukanlah nak kata saya kalis kecaman, tetapi saya seorang yang cepat runsing. "Jadi, lebih baik saya tidak membaca atau mengambil tahu komen negatif. Saya mahu lebih fokus pada kerjaya," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|