Malaysia menyarankan agar budaya kekebalan yang ada sekarang digantikan dengan langkah pencegahan yang mengutamakan kedaulatan undang-undang, keadilan dan kebertanggungjawaban ke arah menjamin wujudnya keamanan dan keselamatan. Kuasa usaha Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York Saiful Azam Abdullah berkata Malaysia berpendapat setiap negara anggota badan dunia itu perlu mengamalkan sikap bertanggungjawab yang berlandaskan undang-undang domestik dan antarabangsa. Katanya, dalam hal ini, sistem nasional perlu dikemudi ke arah memenuhi standard antarabangsa dalam memastikan wujudnya perasaan bertangungjawab bahawa mereka yang melakukan jenayah keganasan seksual, tidak akan sekali-kali terlepas daripada dihukum. "Tidak syak lagi, menghapuskan kekebalan amat perlu dilakukan bagi menghapuskan jenayah seksual, baik yang dilakukan individu, kumpulan atau negara. "Bagaimanapun, negara anggota tetap memikul tanggungjawab utama dan moral untuk melindungi penduduknya," kata beliau pada Debat Terbuka Majlis Keselamatan Wanita, Keamanan dan Keselamatan di New York semalam. Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama di sini Selasa. Saiful berkata Malaysia mengalu-alukan usaha berterusan PBB dan pemegang kepentingan lain serta Kumpulan Pakar Mengenai Kedaulatan Undang-undang dan Keganasan Seksual Dalam Konflik untuk meningkatkan keupayaan mereka yang bertanggungjawab bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan keadilan. "Kami berpendapat hubungan mereka dengan kerajaan akan dapat meningkatkan keupayaan pihak berkenaan untuk menangani keganasan seksual terhadap wanita dan gadis dengan lebih berkesan," katanya. Beliau berkata Malaysia percaya penyertaan wanita secara sama rata, menyeluruh dan aktif menjadi kunci utama dalam pembinaan keupayaan dan pembangunan negara. "Delegasi saya berpendapat wanita bukan saja tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai mangsa, tetapi juga merupakan golongan penting dalam semua usaha untuk menghapuskan fenomena global ini. "Oleh itu, wanita perlu dilibatkan dalam proses mencari keamanan dan mereka perlu melibatkan diri secara aktif dalam setiap usaha untuk membasmi fenomena dahsyat ini," katanya.--
|
sahamboi: Budaya kebal untuk sultan & the gangs, pm, bini pm, vvip vip di malaysia juga perlu dihapuskan...
ADVERTISEMENT