Sekumpulan pakar sejarah menemui sebaris ayat bertulis yang didakwa tertua di dunia pada sebatang sikat purba berusia 3,700 tahun, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Baris ayat tersebut memberi nasihat supaya menggunakan sikat pada rambut dan jambang bagi menghilangkan kutu. Kumpulan ahli arkeologi itu turut menemui bukti mikroskopik kutu kepala pada objek purba tersebut. “Semoga gading ini dapat menghilangkan kutu pada rambut dan jambang,” demikian menurut ayat tersebut yang ditulis menggunakan abjad Kanaan.
Abjad Kanaan dicipta sekitar tahun 1,800 Sebelum Masihi oleh penduduk yang tinggal di tanah Kanaan iaitu kawasan di sekitar Palestin, Lebanon, Syria, Jordan serta Israel. Kumpulan pakar yang menemui objek itu berkata, ia memberi gambaran mengenai penggunaan awal tamadun manusia bagi abjad purba serta pengaruhnya ke atas abjad Hebrew, Arab, Greek, Latin dan Cyrillic. Sikat tersebut mula ditemui pada 2016 di sebuah tapak arkeologi di Tel Lachish, Israel, namun pada tahun ini, seorang pakar terbabit, Dr. Madeleine Mumcuoglu baru menyedari terdapat sebaris ayat pada objek itu. “Ini adalah pencapaian dalam sejarah kebolehan manusia untuk menulis,” kata Profesor Yosef Garfinkel dari Universiti Hebrew. Sumber: Kosmo |
ADVERTISEMENT