Pelakon Nasha Aziz akui bersetuju dengan kenyataan seorang penerbit yang mengutamakan rupa paras berbanding bakat bagi membintangi sesebuah drama atau filem.
Jelas Nasha, isu tersebut bagaimanapun bergantung juga kepada penerbit itu sendiri sama ada bersedia menyediakan ‘ruang mendidik’ kepada pelakon atau sebaliknya. “Saya boleh terima juga dengan kenyataan tersebut, bagaimanapun ia bergantung juga kepada penerbit itu. “Jika penerbit itu rasa dia mempunyai satu ruang untuk mendidik dan menyediakan sesi mengajar kepada barisan pelakon, itu adalah sesuatu yang bagus.
“Tetapi jika produksi itu tiada ruang untuk mengajar pelakon, itu bermakna mereka tidak sempat untuk sajikan ruang itu. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana pelakon itu sudah pun dibayar,” katanya. Nasha ditemui ketika sesi majlis sidang media drama terbaharu lakonannya berjudul Jesnita yang berlangsung di TGV, Sunway Velocity Mall pada Khamis. Dalam pada itu, aktres berusia 52 tahun turut mempersoalkan persediaan pihak penerbit seandainya mereka bertindak mahu menyediakan ‘ruang mendidik’ tersebut. “Jika ada produksi yang sanggup menyediakan ruang belajar kepada pelakon itu adalah sesuatu yang sangat bagus. Namun, sanggupkah mereka bayar untuk berlakon tetapi dalam masa sama mahu ‘sekolahkan’ pelakon itu juga? “Atau mungkin, pelakon itu tidak perlu dibayar, sebab sudah ‘disekolahkan’, kerana daripada situ mereka sudah dapat ilmu, jika situasi yang begitu pun pada saya bagus juga,” ujarnya. Selain Nasha, drama Jesnita yang diterbitkan Zeel Production itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Intan Najuwa, Yusuf Bahrin, Malek McCrone, Rozita Che Wan, Fikri Ibrahim dan ramai lagi. Sumber: Gempak
|
ADVERTISEMENT