Fauzi Nawawi menafikan dirinya merajuk dengan industri hiburan sehingga mahu membawa diri ke Sabah seperti mana yang pernah menjadi bualan ramai sebelum ini.
Menurut Fauzi, 49, dia sekadar mengambil tempoh bertenang dan menguruskan perniagaan di sana selepas insiden dikecam teruk gara-gara terlepas cakap semasa terlibat dalam sebuah program televisyen. "Bukanlah merajuk! Ketika itu saya rasa bawa diri dahulu untuk bertenang seketika. Saya telah memohon maaf atas kesilapan sebelum ini dan mengaku silap. "Saya ke Sabah untuk menguruskan sebuah perniagaan di sana dan ia masih bertahan sehingga sekarang. Bagaimanapun disebabkan kekangan masa dan komitmen di sini saya tidak boleh untuk terus tinggal di sana.
"Saya juga tidak mungkin tinggalkan industri seni kerana ini adalah jiwa saya. Ada ura-ura kononnya nama saya digam tapi tidak ada sebarang surat rasmi mengatakan sebegitu. Syukur masih lagi menerima tawaran sehingga hari ini," katanya kepada mStar.
Fauzi ditemui ketika majlis pratonton filem terbaharu lakonannya berjudul Seratus yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin. Pada Oktober tahun lalu, Fauzi menerima kecaman selepas berkongsi mengenai pengalaman menjayakan babak rogol ketika terlibat dalam sebuah program temu bual. Mengambil iktibar daripada kejadian itu, Fauzi berjanji akan lebih berhati-hati dalam setiap percakapan di masa akan datang.
"Sepanjang 25 tahun dalam industri itulah kecaman paling teruk pernah saya lalui. Maklumlah sebelum ini tiada media sosial, tetapi sekarang orang boleh kecam melalui medium sebegitu. "Apa yang berlaku membuatkan saya sedar sebenarnya ramai yang menantikan kejatuhan seseorang. Saya juga tahu tidak semua suka kita sebagai pelakon. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan menjaga lidah ketika berkata-kata. "Saya juga tidak takut kalau nama kena banned sebab percaya ada rezeki lain. Jika tidak diterima dalam dunia seni ini lagi, saya tetap akan berusaha mencari rezeki selagi masih bernafas,” ujarnya.
Sementara itu bercakap tentang filem Seratus, Fauzi memberitahu dia sanggup melakukan babak aksi sendiri tanpa menggunakan stuntman demi memberi kepuasan dalam lakonannya. "Jujur saya katakan tidak puas berlakon dalam filem ini kerana watak saya dimatikan di awal cerita. Namun apabila menonton secara keseluruhan, saya faham jalan cerita yang ingin disampaikan dan sebagai penonton saya puas melihat keseluruhan cerita. "Dalam filem ini saya minta sendiri kepada pengarah untuk melakonkan satu babak aksi supaya saya dapat berikan sepenuhnya kepada penonton nanti," jelasnya.
Menarik tentang filem arahan Feroz Kadir ini, ia menampilkan 100 orang pelakon dan wang kertas RM100 menjadi simbolik kepada penceritaan yang ingin disampaikan. Filem ini turut menampilkan pelakon seperti Sharul Kamal, Wan Hanafi Su, Sara Ali, Marissa Yasmin dan Pablo Amirul selain nama-nama popular yang muncul sebagai penampilan istimewa. Ia bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 6 Oktober. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|