BOGOR: Golongan remaja yang terlanjur menyangkakan bayi yang mereka lahirkan akan dijadikan anak angkat secara sah, namun rupa-rupanya dijual secara haram dalam talian.
Kes terbongkar selepas polis di Resor Bogor, Kabupaten Bogor berjaya menghidu modus operandi sindiket pemerdagangan bayi dalam media sosial. Suspek bernama Suhendra, 32, warga Kecamatan Ciseeng diberkas kerana menawarkan bayi yang baru lahir menerusi Yayasan Ayah Sejuta Anak bagi mengaburi mata orang ramai. Ketua Polis Bogor, Iman Imanuddin mendedahkan tawaran pemerdagangan bayi secara haram itu dibuat menerusi media sosial dengan harga 15 juta rupiah (RM4,500).
Katanya, pihak polis mula menerima aduan mengenai kes pemerdagangan bayi di kawasan Ciseeng dan melakukan siasatan. “Suspek akan mengumpulkan ibu hamil yang tidak bersuami melalui media sosial miliknya. “Kemudian mereka ditawarkan untuk melahirkan anak di hospital. Selepas proses bersalin selesai, anak yang dilahirkan akan diserahkan kepada individu yang ingin mengambil anak angkat,” katanya. Menurut Iman, selepas kes terbongkar polis berjaya menyelamatkan lima ibu hamil yang sedang menunggu kelahiran dari tempat perlindungan. Saat ini, katanya, kesemua wanita itu sudah diserahkan ke Jabatan Sosial Pemerintah Kabupaten Bogor. “Ada seorang bayi yang dijual ke wilayah Lampung, tetapi kita berjaya menyelamatkannya dan bayi itu sudah diserahkan kepada jabatan sosial,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT