Minat mendalam pada karier seni mendorong pendatang baharu, Ameerul Asyraf Mohammed, 30, berusaha mencari ruang dan peluang untuk menempatkan dirinya sebagai pelakon dikenali.
Pernah menyertai pertandingan Mr Planet pada 2017 dan muncul juara ketika itu, ia adalah platform untuk Ameerul mengejar impiannya dan tidak sedikit pun berasa 'terlewat' kerana baginya perlu berani untuk mencuba dulu. Bertemu dengannya pada sesi fotografi baru-baru ini, Ameerul berkata, dia juga tidak kisah dengan watak diberikan asal sesuai dan boleh dibawanya sebaik mungkin. Katanya, sebagai pelakon baharu semestinya belum masa untuk dia bersikap memilih.
"Buat masa ini, saya okey saja dengan watak diterima yang menjurus sebagai pelakon pembantu. Untuk saya, masih banyak watak perlu dicuba untuk menimba pengalaman dalam lakonan termasuk watak jahat. "Saya boleh saja berlakon watak baik atau jahat kerana ini tanggungjawab pelakon. Seronok juga kalau dapat melakonkan watak jahat kerana penonton cepat mengenali kita. "Apatah lagi, sekarang ini di media sosial cepat saja perkongsian dibuat. Jadi, jika lakonan dipersembahkan berkesan dan 'viral', ia juga membantu menaikkan nama seseorang pelakon itu dengan pantas," katanya.
Ameerul yang kini sudah membintangi lebih enam drama berkata, lakonannya yang berkesan dan masih diingati segelintir penonton adalah drama Leftenan Zana di TV3 pada 2019 sebagai Kapten Mustaqim. Katanya, dia bersyukur dapat membintangi drama terbitan JS Pictures itu yang menggandingkannya dengan pelakon berkaliber lain seperti Janna Nick, Redza Rosli, Tunku Hanis, Nazrief Nazri termasuk penerbit Sheila Rusly sendiri.
"Kini saya mengharapkan supaya terus mendapat peluang dalam industri untuk menyerlahkan bakat. Tak dinafikan, perlu bersaing dengan bakat baharu yang ramai, namun saya akur bukan mudah untuk mengorak langkah hingga berjaya. "Saya akan terus mencuba dan sentiasa percaya kepada rezeki Allah. Malah, walaupun agak berliku dengan pelbagai cabaran yang mendatang, ia adalah ujian kehidupan dan saya sedia menghadapinya dengan cekal," katanya.
Selain Lefternan Zana, antara drama lain pernah dibintangi Ameerul sebagai watak pembantu ialah Syurga Untukmu, Bougainvillea, 28 hari Mencari Cinta, Ancak dan Kerana Setitik Susu. Masih lagi bujang, Ameerul berkata, sehingga kini dia belum memikirkan soal jodoh.
Katanya, bukan tidak mahu berumah tangga dan memiliki keluarga sendiri, tetapi dia perlu mengukuhkan kewangan dan menstabilkan kariernya dulu. "Hendak memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga tidak mudah. Bagaimanapun, saya percaya kepada jodoh dan biar Yang Maha Kuasa tentukan. Buat masa sekarang, saya perlu menstabilkan karier dan kewangan. Alhamdulillah, keluarga amat memahami serta memberi sokongan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|