"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat rezeki dalam lakonan tak putus-putus sejak dari tahun lepas lagi. Bagi saya, inilah rezeki anak-anak dan semua peluang yang datang itu saya terima dengan hati terbuka."
Puteri Sarah Liyana, 37, menzahirkan rasa syukur berpeluang merancakkan semula aktiviti dengan tawaran berlakon yang tidak putus diterima selepas enam tahun menyepi dari karier lakonan. "Ditambah dapat pula tawaran projek berlakon teater Maduku Terpaling Kalut yang membuatkan saya tidak mahu menolaknya. Ia satu jalan kisah yang menarik dan saya juga berganding dengan rakan pelakon lain seperti Azrel Ismail, Anna Jobling dan ramai lagi.
"Tak dinafikan, kedua-duanya (Azrel dan Anna) senang untuk bekerjasama terutama Azrel yang baharu selesai membintangi satu drama dengan saya sebagai suami isteri. Jadi, untuk kami terus membentuk keserasian dalam lakonan itu agak mudah," katanya kepada Harian Metro. Akuinya, dia nekad menimba pelbagai pengalaman baharu yang menarik dengan mencabar diri untuk terbabit pementasan teater yang agak mencabar. "Tujuan saya bersetuju membintangi teater ini kerana mahu mencabar diri. Maklumlah selama ini saya tidak berkesempatan untuk mencuba, seterusnya mengembangkan bakat lakonan dimiliki. "Saya juga yakin nak terbabit dengan teater ini kerana ia bergenre komedi. Saya percaya dengan sesi latihan dilakukan, pasti mampu membuat yang terbaik nanti. Harapan saya agar teater Maduku Terpaling Kalut akan mendapat sambutan baik. "Malah, saya juga akan mendapatkan tunjuk ajar sebaiknya daripada guru lakonan disediakan. Saya akan pastikan buat sehabis baik demi penonton," katanya. Dalam masa sama, Sarah bersyukur bakat lakonannya semakin diterima penonton. Justeru, dia reda menangguhkan dulu hasrat untuk bercuti panjang bersama anak-anak, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. "Saya kena dulukan komitmen pada teater ini sehingga selesai. Apapun, saya sangat-sangat 'happy' dengan kerja dilakukan sekarang. "Segala kepercayaan diterima daripada pengarah, saya kena buktikan. Inilah masanya dan tak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Saya amat yakin boleh melakukannya dengan komitmen padu diberi," katanya. - CARI
|
ADVERTISEMENT