Kepelbagaian budaya yang wujud di Indonesia menyebabkan negara itu kaya dengan pelbagai hidangan enak, menarik dan pelik.
Menu seperti ayam penyet dan bakso bukan sahaja digemari rakyatnya, malah turut dijual secara meluas di negara jiran seperti Malaysia. Terbaharu, seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Sulastri Mayani tampil berkongsi video tutorial masakan anak lebah sehingga meraih lebih 3.3 juta tontonan di media sosial. Dalam video itu, Sulastri menunjukkan cara memotong kepingan sarang lebah kepada bahagian-bahagian kecil sebelum dia mengeluarkan anak-anak lebah ke dalam sebuah bekas.
"Yang hitam-hitam itu matanya. Kita terbalikkan sarangnya, kemudian kita keluarkan anak lebah. Itu lihat anak lebah dah mula jatuh. Yang warna putih masih muda, yang coklat sudah agak tua. "Teman-teman pernah makan anak lebah ke? Kalau pernah, komen di bawah, biar teman-teman yang lain tahu bagaimana rasanya. "Rasanya ada manis-manis begitu. Di Lombok ramai yang suka makan anak lebah," ujarnya. Menjengah ke ruangan komen di akaun TikTok milik Sulastri, video itu bukan sahaja dihujani komen rakyat Indonesia malah turut meraih perhatian orang Malaysia. "Sangat unik dan kagum melihat kepelbagaian makanan cuma kepada yang tidak makan, seharusnya tidak perlu menghina makanan yang lain dari tempat kita. "Boleh makan ke anak lebah? Tak ada racun ke? "Wah kali pertama aku tengok. Tak tahu pun ada baby lebah. "Di Sarawak, orang makan anak lebah tu biasa," tulis beberapa netizen. Jun lalu, mStar melaporkan kisah tular peniaga bertudung dan berkopiah di Indonesia yang memasak hidangan sate ular. Awal Ogos lalu, seorang pelanggan di negara itu turut berkongsi video memaparkan seekor tikus yang dipercayai dimasak dalam hidangan ayam penyet. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT