BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga tempatan yang tular dalam satu rakaman video sejak semalam kerana melaungkan azan di hadapan sebuah patung di tokong Cina di sini, disahkan mempunyai masalah mental dan kurang siuman.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pengesahan itu dibuat hasil keterangan yang diberikan beberapa saksi. Beliau berkata, ini kali kedua suspek yang tinggal di Jalan Kilang Ubi dan berusia lewat 40-an itu berbuat demikian selepas kali pertama pada 2017. “Siasatan lanjut mendapati masyarakat di sekitar kawasan itu juga kebanyakannya mengenali suspek.
“Sehubungan itu, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan apa-apa perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti dan memecahbelahkan keamanan antara kaum serta agama dalam masyarakat di negara ini,” katanya di sini. Terdahulu, rakaman video berdurasi 58 saat itu tular selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook ‘Akademi Penyelidikan Agama Dunia’ kira-kira pukul 2.30 petang. Kejadian itu dipercayai berlaku antara 26 hingga 27 Julai lalu di sebuah premis Pertubuhan Yulan di sini, sempena Festival Sambutan Perayaan Hantu Lapar yang disambut pada Julai setiap tahun. Dalam rakaman tersebut, suspek kelihatan melaungkan azan tanpa mempedulikan keadaan sekeliling termasuk beberapa individu yang sedang merakam gelagatnya. – CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT