Pendakwah bebas, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyarankan agar golongan selebriti yang ingin memasarkan produk sebaik-baiknya mendapatkan khidmat nasihat pakar berkaitan sebelum menjual barangan berkenaan kepada orang ramai bagi mengelakkan sebarang perkara berbangkit.
Memetik laporan mStar, Ridhuan Tee berkata, isu berkenaan tidak patut dipandang ringan dan perlu dijadikan budaya bagi menjamin keselamatan dan kesucian sesuatu produk dagangan mereka.
Gambar hiasan
"Orang berniaga dan ingin mengeluarkan sesuatu produk perlu ada ilmu. Jangan kerana atas nama selebriti yang mempunyai ramai pengikut, kita gunakan kesempatan itu mengaut keuntungan. Itu penipuan namanya walaupun tidak melakukan secara langsung," katanya.
Ridhuan Tee turut berkata, penjelasan daripada pakar mengenai ketelusan sesuatu produk penting dengan memperincikan aspek agar pengguna tidak rasa was-was.
Sementara itu, bagi pengguna pula, mereka juga harus peka dengan membuat pemeriksaan keselamatan dan kebersihan sesuatu produk dan bukannya membeli disebabkan ia dijual oleh selebriti terkenal.
Gambar hiasan
"Malangnya, orang kita beli barang bukan tengok pun apa kandungannya, khasiat, halal ke tidak, bahaya atau bukan tetapi membeli kerana dia sukakan seseorang selebriti itu.
"Bagi peniaga pula, jangan guna jalan mudah untuk cepat dapat untung. Dapatkan rujukan dan pandangan daripada golongan mahir agar perniagaan diuruskan berteraskan kejujuran.
"Apa yang kita buat termasuk perniagaan, semua itu ada perkiraan di akhirat, dosa dan pahala.
"Jadikan perniagaan itu satu jihad dan bukannya jahat. Buatlah dengan jujur dan jangan melakukan sesuatu perkara kerana nama atau mahu cepat kaya," katanya. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My