ACEH: Seorang wanita yang berasal dari Darul Imarah, Aceh Besar ditangkap polis selepas disyaki mencuri barangan kemas milik rakannya sebelum menjualnya bagi mendapatkan duit.
Duit hasil curian tersebut kemudiannya digunakan oleh suspek berusia 27 tahun untuk membelikan kekasihnya telefon pintar iPhone dan bercuti bersama. Jurucakap polis Banda Aceh, M Ryan Citra Yudha berkata, mangsa dikenali sebagai Putri Samayanti dan kejadian kecurian itu berlaku pada 15 Jun lalu melibatkan seutas gelang, rantai dan sebentuk cincin emas. Katanya, kesemua barangan itu hanya disedari hilang selepas mangsa pulang dari kerja dan membuka almari untuk menyimpan barangnya.
“Kecurian itu menyebabkan mangsa kerugian sehingga 22.6 juta rupiah (RM6,707). “Mangsa membuat laporan polis dan berdasarkan keterangan, kami menahan suspek untuk membantu siasatan. “Pada mulanya, suspek mengaku dia mencuri semua barangan kemas itu kerana faktor ekonomi sebelum menceritakan hal yang sebenar,” katanya seperti yang dilapor Kompas.com. Jelas Ryan, suspek menceritakan bagaimana dia membelanjakan wang curian itu dengan membelikan teman lelakinya telefon pintar dan pergi bercuti ke taman rekreasi. Selain itu, polis turut merampas dua telefon bimbit milik mangsa. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT