Pelakon Aniq Suhair terpaksa berehat selama seminggu akibat ketegangan otot dari aktiviti menyelam dua minggu lalu.
Menurut Aniq atau nama sebenarnya Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, kesakitan yang dialami semakin teruk selepas dia melakukan senaman. Bergantung kepada ubat tahan sakit buat masa kini, pelakon berusia 21 tahun itu berkata dia perlu bersenam untuk menjayakan satu karekter. "Saya tengah berehat dari aktiviti seni buat masa sekarang sebab ada alami ketegangan otot. Sebenarnya saya alami sakit itu sejak buat aktiviti menyelam dua minggu lalu.
"Tapi saya biarkan rasa sakit itu... dan terus workout. Tu yang bertambah sakit dan menyebabkan saya ambil keputusan untuk rehat selama seminggu. "Saya lakukan senaman pun sebab untuk satu karekter. Jadi, terpaksa tunda penggambaran sebab alami kecederaan. Saya hanya makan ubat saja sekarang. "Ikutkan saya boleh saja jalani penggambaran tapi tak boleh buat untuk babak-babak yang lasak," kata Aniq kepada mStar. Aniq ditemui ketika majlis pelancaran Fiesta TV3 yang berlangsung di Sri Pentas Media Prima, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Dalam pada itu, pelakon drama Lelaki Linkungan Cinta ini memberitahu dia kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan secara separuh masa. Biarpun sukar mengimbangkan masa, namun bekas peserta program Hero Remaja 2019/2020 ini mahu memberi lebih tumpuan kepada kerjaya seninya. "Saya kini sambung belajar di sebuah kolej di Petaling Jaya tapi hanya separuh masa saja. Saya ambil jurusan Pengurusan Perniagaan. "Sebenarnya benda ini baru lagi, saya pun tak biasa bekerja sambil belajar. Tapi Alhamdulillah, semuanya masih okay, cuma makin lama makin susah. "Tapi saya tetap akan berusaha untuk mengimbangkan masa saya dengan baik. Lagipun, saya utamakan kerja dahulu, belajar ini pun bukan ambil sepenuhnya," ujarnya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT