Pelakon Tiz Zaqyah, menerusi Instagram meluahkan rasa gembira dan sebak apabila usaha untuk mencari serta keinginan untuk bertemu dengan abang kandung akhirnya membuahkan hasil.
Memuat naik gambar bersama seorang lelaki yang diperkenalkan sebagai abangnya, perkongsian pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Razak itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminatnya.
Wanita berusia 34 tahun itu bagaimanapun menjelaskan perkara tersebut bukanlah gurauan atau 'prank' namun situasi sebenar yang dilaluinya.
"Dia sudah lama mencari kami dan kebetulan saya ada di Singapura menghadiri acara Aura Kasih. Dia kemudian menghubungi sales Aura Kasih menerusi nombor telefon yang ada di Instagram.
"Apabila saya menerima mesej itu, saya dapat rasakan ada sesuatu. Saya tak fikir panjang dan terus nak jumpa dia. Dia tunjukkan gambar bapa kami dan berkongsi cerita dan terbukti memang sah kami adik-beradik," katanya.
Pelakon yang terkenal dengan drama Nur Kasih itu menyifatkan Ramadan kali ini sangat indah kerana individu yang dicari-cari selama ini akhirnya sudah ditemukan.
'Saya bersyukur dan banyak berdoa supaya abang ada rezeki bertemu dengan ayah kandung kami di Malaysia nanti. Bagi saya, Ramadan dan Syawal pada tahun ini adalah yang paling bermakna apabila Allah makbulkan doa kami.
"Selama ini, saya ingatkan adik-beradik cuma ada kakak. Tapi, memang dari kecil lagi saya berharap ada seorang abang. Tak sangka ia jadi kenyataan," katanya yang berharap hubungan mereka adik-beradik menjadi semakin rapat.
Kata aktres itu lagi, sebaik bertemu dengan abangnya, soalan pertama yang diajukan adalah kesahihan lelaki itu adalah abangnya.