Menerusi Facebook Mael YY Pang, sebuah video berdurasi 16 saat memaparkan seorang penyanyi berpakaian serba putih dan memakai serban sedang menyampaikan sebuah lagu hip hop dalam bahasa Inggeris.
Persembahan penyanyi itu turut diiringi dengan kerdipan lampu warna-warni itu mendapat reaksi kurang senang daripada barisan tetamu dan jemputan khas dipercayai daripada kalangan agamawan yang sedang duduk di bahagian pentas.
Menerima kritikan ramai, dalam majlis membabitkan agama seorang penyanyi tidak sepatutnya menyampaikan lagu sedemikian. Walaupun bergelar penghibur, adalah lebih baik sekiranya penyanyi tersebut melantunkan selawat atau qasidah.
Hasil carian mendapati, video pada majlis berkenaan dimuat naik oleh Waris di Instagram pada 14 November 2021. Menerusi kapsyen, dia mendapat jemputan untuk membuat persembahan di Masjid Ibnu Khaldun bersempena dengan Maulud Nabi.
Bagaimanapun, tidak ada maklumat lanjut mengenai insiden terbabit. Namun, video itu kini sedang tular di media sosial serta mendapat kritikan negatif daripada netizen.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Muzzammil Alias yang berusia 34 tahun itu terkenal dengan lagu Rembau Most Wanted dan Gadis Jolobu duet bersama Datuk Hattan.
Menerusi laporan Mstar pada Januari 2021, Waris lama menyepi dari dunia seni kerana menyedari tidak ada permintaan dan sambutan daripada pendengar. -CARI