Artikel oleh: Adib Za Video oleh: Adib Za, FirdausZ
Kurang seminggu lagi umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut hari raya Aidilfitri. Mood raya seolah telah 'merasuk' sebahagian masyarakat yang rindukan peristiwa setahun sekali ini. Bagi rakyat Malaysia khususnya, bajet raya pastinya menjadi sesuatu yang sangat dititikberatkan. CARI Infonet sempat meninjau dan bertanyakan pendapat beberapa orang pengguna di salah sebuah kompleks membeli belah di Lembah Klang. Rata-ratanya mengambil pendekatan berjimat cermat dan bersederhana pada tahun ini berikutan ekonomi yang dilihat kurang memberangsangkan tahun ini.
Dalam pada itu, amalan rumah terbuka tetap tidak dilupakan meskipun masyarakat menyediakan bajet yang tidak terlalu besar tahun ini. Sudah menjadi kelaziman, hari raya disambut dengan cara mengeratkan silaturahim antara saudara mara dan rakan terdekat. Oleh itu, tidak mengejutkan amalan rumah terbuka dilihat sangat penting di kalangan masyarakat negara ini.
Di samping itu, CARI Infonet berkesempatan menemuramah beberapa individu yang berkongsi pengalaman tidak pulang beraya. Ia bukanlah pengalaman yang mudah, pastinya kerana berkumpul dan memohon restu serta maaf daripada kedua ibu bapa di kala pagi raya dilihat sangat penting bagi masyarakat. Namun, akibat kekangan tertentu seperti kehabisan tiket, kesesakan jalan raya dan sebagainya membuatkan mereka ini tidak kesampaian untuk beraya bersama keluarga. Dengar dan hayati pengalaman mereka ini.
Apa pun, selamat hari raya dari kami di CARI Infonet! - CARI Infonet
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|