Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan Umrah bersama isterinya, Bella Astillah, pada hari ini.
Menerusi Instagram, pemenang program Gegar Vaganza musim ke-8 itu memaklumkan ini adalah kali pertama mereka menunaikan ibadah berkenaan.
"Kepada yang pernah terguris hati dengan perbuatan saya, mohon dimaafkan.
"Semoga perjalanan ini dilindungi dan dirahmati Allah dan menjadi sebab kebaikan buat kita semua," katanya.
Turut berangkat sama ialah kedua ibu bapa mentua Aliff, Awang Astillah dan Zarinah.
Sementara itu, Bella terharu kerana impiannya untuk membawa kedua orang tuanya ke Tanah Suci akhirnya tercapai.
"Inilah impian saja sejak dari sekolah. Bahagia rasanya apabila dapat pergi bersama-sama mama dan ayah.
"Semoga ini menjadi permulaan tahun baharu yang baik buat kita semua," katanya.
Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Pasangan itu bagaimanapun bercerai pada 16 Mei 2020 tetapi rujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna. - CARI