Rabat: Mahkamah di Maghribi semalam, menjatuhkan hukuman dua tahun penjara kepada pensyarah yang didakwa menukar gred penuntutnya kepada lebih baik dengan ganjaran seks.
Ia adalah keputusan pertama berkaitan dengan skandal seks untuk dapat gred lebih baik yang menggegarkan negara Afrika Utara itu, sejak September lalu. Isu itu selepas media tempatan mendedahkan kebocoran mesej antara pensyarah terbabit bersama penuntutnya. Defendan, seorang pensyarah ekonomi di Universiti Hassan I di Settat berdekatan Casablanca didapati bersalah kerana kelakuan tidak senonoh, keganasan dan gangguan seksual.
Empat lagi pensyarah akan dihadapkan ke mahkamah, pada hari ini, kerana tuduhan sama iaitu bersubahat melakukan penyelewengan, diskriminasi jantina dan keganasan terhadap wanita. Ia rentetan skandal gangguan seksual berprofil tinggi di universiti Maghribi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun kebanyakannya kes gagal untuk dibicarakan. Kumpulan hak asasi manusia berkata, keganasan seksual berleluasa di negara itu, namun ramai mangsa tidak membuat laporan kerana takut serta menjejaskan reputasi keluarga mereka. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT