Jarir Jafni berusia 37 tahun, dia lebih senang disapa sebagai Jafni mengakui perjalanan hidupnya itu sebenarnya yang banyak memberi impak dan kematangan dalam dirinya sehingga dia mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini.
"Saya bekerja sebagai peguam selama lima tahun. Saya tukar profesion kerana tercari-cari apa makna hidup ni, apa sebenarnya yang dapat menggembirakan saya? Saya nampak saya suka berniaga. Saya juga seorang yang suka mencuba benda baharu"
"Saya mulakan bisnes butik pada tahun 2013. Bermula dengan ilmu yang sedikit, perniagaan itu berkembang namun akibat pandemik, ia terpaksa ditutup selepas sembilan tahun beroperasi"
"Pada masa yang sama, saya juga sudah mulakan bisnes yong tau foo sebelum pandemik melanda. Pada waktu itu saya tidak meletakkan harapan yang tinggi tapi lama-kelamaan, saya rasa bisnes ini boleh pergi jauh"
"Kalau ikutkan hati saya sebenarnya sayang nak tinggalkan bidang guaman. Ramai yang memandang lekeh kepada saya kerana tiba-tiba tukar ke bidang yang tidak profesional."
Kini, Jafni memilik tiga cawangan kedai Tepen Yong Tau Foo yang terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang dan Bangi.
"Ramai kenalan yang mula menjauhkan diri, mungkin segan berkawan dengan saya. Tapi saya tak ambil hati sebab niat saya nak cari duit untuk keluarga. Kalau saya susah, tidak ada siapa yang tolong. Hanya kita dapat menolong diri sendiri"
Dalam masa dua tahun, Jafni berjaya membuka tiga cawangan perniagaan yong tau foo.
"Sudah menjadi kelaziman juga, hujung tahun saya akan membawa mak ayah bercuti. Pada penghujung 2021, saya agak serabut mengenai kedai di Bangi kerana menghadapi proses yang agak sukar ketika itu. Tapi ayah minta bawa dia jalan-jalan seperti selalu. Dalam kekusutan itu, saya tetap bawa mereka bercuti di Melaka dan Johor."
"Saya ceritakan tentang masalah tersebut kepada mereka dan minta doa mereka. Selepas pulang, saya hanya ada masa seminggu sebelum kedai di Bangi itu mula beroperasi. Banyak hal yang belum selesai, memang pada ketika itu, saya 50-50 sahaja sama ada nak buka kedai atau sebaliknya", ujarnya kepada Mstar.
Disebalik pelbagai dugaan, kedai Jafni berjaya juga mula beroperasi pada 2 Januari 2022.
Dalam masa yang sama, Jafni juga turut berkongsi video mengenai kedainya ke aplikasi Tiktok sehingga dia menerima rezeki yang tidak disangka-sangka.
"Dengan tindakan saya membawa mak ayah bercuti, Allah gantikan balik, hantar ramai orang untuk tolong saya. Saya dapat idea untuk buat video dan kongsi ke Tiktok, dan tiba-tiba ia menjadi viral"
"Kedai saya yang sunyi dan terletak di belakang kawasan tiba-tiba meriah dan dipenuhi pelanggan. Daripada sale tak seberapa pada har pertama, hari kedua dan ketiga terus jadi meriah."
"Saya yang asalnya sedih tiba-tiba menjadi bersemangat balik. Saya terkejut ramai yang memberi sokongan"
Dalam temu bual bersama Mstar, Jafni turut menitipkan pesanan kepada peniaga-peniaga agar cekal menghadapi ujian dalam bisnes. -CARI