Kemunculan pelakon dan pengacara, Shaza Bae, 26, di persada industri hiburan tanah air kini nampaknya semakin mendapat perhatian.
Apatah lagi, apabila pembabitannya dalam drama Jangan Ganggu Jodohku arahan Jamal Khan yang disiarkan Astro diakui berjaya meninggalkan lakonan berkesan. Membawakan watak Aliza, seorang wanita yang boleh melihat makhluk halus sekali gus, membuatkan dia sering diganggu terutama pada majlis perkahwinannya yang selalu gagal. Aliza akan dirasuk teruk setiap kali berada di atas pelamin, yang akhirnya baru disedari bahawa dia adalah pewaris saka keluarga dan 'makhluk penjaganya' itu tidak mahu Aliza berkahwin dengan pemuda lain.
Berbicara mengenai Jangan Ganggu Jodohku itu, Shaza berkata ia pengalaman baharu baginya dalam lakonan dan diakui agak mencabar kerana banyak menjayakan babak kena rasuk.
"Apapun drama ini bergenre romantik komedi yang mana 'jin penjaga' Aliza bernama Abu sebenarnya jatuh cinta dengan tuannya. Banyak juga aksi lucu dan mencuit hati yang pasti menghiburkan penonton. "Malah, saya juga bersyukur mendapat gandingan pelakon yang bagus dalam drama ini seperti Yusuf Bahrin, Aloy Paradoks, Amerul Affendi dan Salina Saibi yang sangat-sangat membantu lakonan saya," katanya. Shaza atau nama sebenar, Shaza Nuriman Muhammad Zamri yang mengakui masih 'hijau' dalam lakonan berkata pengalaman beraksi di samping Aloy Paradoks sebagai Abu cukup memberi cabaran buatnya untuk memantapkan mutu lakonan.
"Aloy, pada saya seorang pelakon yang berkaliber. Dia cepat memahami jalan cerita dan 'skill' lakonannya hebat. Malah, Aloy juga suka buat 'ad-lib' dalam lakonan dan saya kena pantas membalas. "Justeru, sedikit-sebanyak saya dapat menimba pengalaman dan belajar berlakon daripada Aloy. Penjiwaan watak Abu yang dipersembahkan Aloy juga mantap dan selaku gandingannya, saya puas hati," katanya. Berbicara mengenai pengalaman tidak dapat dilupakan, Shaza berkata dia sebenarnya turut mengalami peristiwa dirasuk betul-betul oleh makhluk halus ketika penggambaran drama berkenaan.
Katanya, itu adalah kali pertama dia kena rasuk dan apa yang terjadi tidak pernah diduga. Ujarnya, boleh dikata ia berlaku dengan pantas dan cukup meninggalkan kesan mendalam. "Saya kena rasuk secara tiba-tiba ketika melakonkan babak di atas pelamin dan akan berkahwin. Tanpa diduga, babak yang mula saya lakonkan ketika senja selepas Maghrib itu adalah aksi sebenar. "Semasa nak mula lakonkan babak itu lagi (dirasuk atas pelamin), saya dah rasa seram sejuk, tak sedap badan, jantung berdegup kencang dan berdebar- debar. Tapi, saya teruskan berlakon dan kena buat babak menjerit pula," katanya.
Menurut Shaza, jeritannya bagaimanapun tiba-tiba putus apabila merasakan tangan seperti ditarik seseorang. Katanya, dia juga sukar melunaskan babak itu kerana seakan dihalang sesuatu. "Saya direhatkan seketika di dalam bilik dan dibaca ayat Kursi serta terus menangis tanpa henti kerana perasaan rasa amat sayu. Itulah pengalaman dirasuk yang tak akan saya lupa sampai bila-bila," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|