Individu di Britain yang merakam gambar wanita sedang menyusukan bayi tanpa kebenaran bakal berdepan hukuman penjara dua tahun, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kerajaan negara itu kelmarin mencadangkan pindaan kepada rang undang-undang bagi Polis, Jenayah, Hukuman Jenayah dan Mahkamah. Kementerian Keadilan (MoJ) berkata, di bawah pindaan undang-undang baharu itu, merakam gambar atau video wanita yang sedang menyusukan bayi tanpa kebenaran mereka akan menjadi satu kesalahan voyeurisme di England dan Wales. “Ia menjadikannya satu kesalahan khusus yang memberikan polis dan pendakwa raya kuasa yang lebih untuk memastikan pesalah berdepan dengan keadilan.
“Individu yang didapati bersalah berdepan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun. Pindaan itu merangkumi situasi-situasi di mana motif pesalah adalah untuk mendapatkan kepuasan seksual atau menyebabkan penghinaan, tekanan atau perhatian,” kata MoJ. Ahli Parlimen parti Buruh, Stella Creasy kini giat berkempen untuk menggubal undang-undang sedia ada selepas aksinya yang sedang menyusukan bayi ketika menaiki pengangkutan awam dirakam oleh individu tidak bertanggungjawab. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT