Membesar dengan dikelilingi pelbagai bangsa dan budaya sudah tentu memberi kesan kepada keperibadian dan penampilan seseorang.
Baru-baru ini, tular video di TikTok menunjukkan seorang pemuda berwajah ala Cina - Korea yang fasih berbahasa Melayu membuat orang ramai tertanya-tanya siapakah gerangan individu tersebut?
Menurut mStar, Shabanie Saini dibesarkan ibu dan bapa angkatnya iaitu Jaliah Majid and Saini Rosli yang menetap di Kuching, Sarawak. Pelajar kolej matrikulasi Selangor itu menjelaskan keluarga kandungnya berbangsa Cina, tetapi mereka telah meninggal dunia dan sejak bayi dia dibesarkan oleh keluarga melayu.
Shabanie menjelaskan nama samarannya, Daniel Choo yang digunakan di platform media sosial merupakan hadiah pertama daripada ibu bapa kandungnya. Bersekolah di Sekolah Menengah Green Road, Kuching yang hanya mengguna dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris, Shabanie mendedahkan bahawa dia sebenarnya tidak tahu langsung berbahasa Cina. Tidak menafikan bahawa adakalanya, dia berasa cemburu melihat kemesraan rakan dan ibu bapa kandung masing-masing. "Tipulah kalau saya tak cemburu bila tengok mak ayah hantar kawan-kawan saya pergi sekolah siap peluk cium dan bagi bekal makanan lagi, tetapi lama-kelamaan saya rasa semua itu tidak penting lagi kerana kita mestilah pandang ke hadapan untuk maju dalam kehidupan." Tambahan pula, disebabkan dia memiliki wajah seperti anak Cina dan Korea serta fasih berbahasa melayu, sudah tentu ramai yang mempersoalkan identiti Shabanie. Walaupun berdarah Cina, dia dibesarkan keluarga Melayu dan hidupnya berpandukan ajaran Islam. Malah, dia telah Khatam Al-Quran sebanyak tiga kali! - CARI |
ADVERTISEMENT