Bukan tugas mudah, malah memperkenalkan sayur-sayuran kepada kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat mencabar! Apatah lagi bila melibatkan sayuran yang rasanya kelat atau pahit.
Namun, baru-baru ini tular video kanak-kanak berusia 10 bulan sedang mengunyah seketul peria mentah dengan penuh kenikmatan. Video yang dikongsikan ibu kanak-kanak berkenaan menimbulkan rasa kagum netizen yang dalam masa sama terhibur melihat gelagat bersahaja dirinya mengunyah sayur itu.
Bercakap kepada mStar, ibunya, Nadhirah Mat Napis, 28, berkata, anak sulungnya itu, Naaz Afeeda Muhammad Azrol mula diperkenalkan dengan sayur sayuran termasuk peria sejak berusia sembilan bulan. "Masa tu saya pergi rumah abang, yang ada cuma peria jadi saya cuba bagi, dia suka lepas tu menangis nak lagi. "Sebelum ni saya cuma bagi timun, carrot atau tomato je, sayur lain belum bagi lagi," katanya yang bekerja sebagai seorang penganalisa kanan kewangan. Mengakui dirinya dengan suami bukanlah peminat peria, Nadhirah berkata, sayur tersebut kini bagaimanapun merupakan antara sayur wajib ada di rumah mereka. "Saya dengan suami memang tak makan, kami beli untuk dia je, bagi dia makan sebagai snek sebab makanan harian tetap bubur nasi atau nestum. "Suami memang pernah cuba rasa peria tu sebab nampak sedap je dia makan, tapi makan hujung-hujung pun rasa pahit. "Kami memang kesian tengok dia makan pahit, tapi bila ambil dari tangan dia menangis pula," katanya. Menurut Nadhirah, anak perempuannya itu bagaimanapun tidak gemar dengan sayur-sayuran yang rasanya tawar seperti kobis. "Saya tak paksa dia makan, saya cuba bagi dia sayur-sayur berbeza untuk dia rasa. "Memang tak sangka pula peria yang dia suka, Alhamdullilah penggemar sayur rupa-rupanya. "Tapi kalau sayur yang tawar saya pernah bagi kobis, dia tak nak mungkin sebab tak ada rasa," katanya. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT