Mexico– Seorang remaja berusia 14 tahun dari Mexico dipenjarakan kerana melarikan diri dan ingkar untuk berkahwin secara paksa menerusi perkahwinan yang diatur oleh keluarganya, lapor akhbar Daily Star.
Gadis yang dikenali sebagai Anayeli N itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan bersama jirannya di sebuah perkampungan di Guerrero. Ibunya dikatakan telah menerima bayaran melebihi £7,000 (RM39,177) daripada jirannya untuk mengahwinkan anak perempuannya itu, namun ditentang oleh gadis berkenaan. Walaupun perkahwinan bawah umur diharamkan di Mexico, kebanyakan kawasan luar bandar di negara itu dilaporkan masih menjalankan kegiatan tersebut termasuk di Guerrero. Sementara itu, Pengarah Pusat Hak Asasi Manusia Tlachinollan, Abel Barrera berkata, Anayeli akan dipaksa melakukan semua kerja rumah setelah wang diterima oleh ibunya. “Gadis itu memilih untuk melarikan diri walaupun ibunya telah menerima wang dan perbelanjaan perkahwinan sudah dibayar oleh keluarga pihak lelaki,’’ jelas Barrera kepada laman berita The Daily Beast. Tambah Barrera, bapa Anayeli telah dibunuh oleh penyerang yang tidak dikenali, manakala ibunya pula mengalami masalah kewangan. Anayeli bertindak melarikan diri pada hari perkahwinannya ke rumah jirannya yang berusia 15 tahun yang dikenali sebagai Alfredi N. Kedua-dua mereka ditangkap dan dipenjarakan setelah jirannya menghubungi polis komuniti. Dia diminta untuk membuat pilihan sama ada meneruskan perkahwinan atau memulangkan wang yang diterima ibunya. Mereka kemudiannya dibebaskan oleh anggota polis serta wakil pejabat peguam daerah dan diletakkan di bawah perlindungan keselamatan. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT