Bangkok: Bekas ketua polis daerah di Thailand yang digelar 'Joe Ferrari' kerana gaya hidup mewahnya berdepan hukuman mati selepas dia didakwa atas tuduhan membunuh tahanan dengan menyeksa ketika proses soal siasat.
Thitisan Utthanaphon mendapat gelaran itu kerana minatnya terhadap kereta mewah ketika skandal rasuah mengejutkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Thailand, lapor AFP. Rakaman video Ogos lalu menunjukkan sekumpulan pegawai yang didakwa termasuk Thitisan, menekup kepala suspek sambil menyoalnya. Suspek berusia 24 tahun meninggal dunia dalam tahanan polis dan video tular itu mendorong siasatan terhadap tindakan Thitisan dan enam pegawai lain.
Isnin lalu, Pejabat Peguam Negara Thailand mengumumkan bahawa semua tujuh pegawai itu akan berdepan pertuduhan. "Peguam Negara bersetuju mendakwa semua mereka dengan empat pertuduhan," kata jurucakap Ittiporn Kaewthip. Ia termasuk dua pertuduhan bersubahat, satu pertuduhan membunuh dan pembunuhan dengan penyeksaan. Jika didapati bersalah membunuh dengan penyeksaan, mereka akan dijatuhi hukuman mati, satu-satunya hukuman untuk kesalahan terbabit. Kes itu diserahkan ke Mahkamah Jenayah Pusat negara kerana rasuah dan salah laku. Selepas rakaman kejadian itu tular pada Ogos, Thitisan, 41, yang juga bekas ketua polis daerah di wilayah utara Nakhon Sawan menyerah diri kepada polis. Pihak berkuasa menyerbu rumah agamnya di Bangkok dan menemui 13 kereta mewah. Ketika sidang media, beliau menafikan sebarang salah laku, sebaliknya berkata, kematian suspek adalah kemalangan. Pemerhati hak asasi manusia berkata, skandal itu menyebabkan kepercayaan terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang Thailand yang semakin terhakis kerana sering dikaitkan dengan urus niaga dan aktiviti haram untuk kepentingan peribadi. -CARI Sumber: Harian Metro
|
mizruncing replied at 18-11-2021 09:10 AM
masa buat tu tak tau ada cctv ke? ke memang ingat akan lepas sbb kabel kuat
ADVERTISEMENT