Kesempitan hidup tidak menghalang seorang wanita untuk cuba melangsaikan hutangnya secara beransur-ansur walaupun serendah RM7 sebulan.
Kisah wanita yang dianggap 'penghutang dari syurga' itu dikongsikan Cikgu Mohd Fadli Salleh di Facebooknya pada Ahad. Mohd Fadli yang turut dikenali sebagai aktivitis sosial berkata, beliau sukar untuk memberi pinjaman wang kepada kepada orang tidak dikenali namun tergerak hati untuk memberikan bantuan kepada wanita tersebut. "Dia terdesak nak pakai duit RM210 Mei lalu. Satu nilai yang aneh pada aku. "Jarang orang berhutang nilai yang spesifik, biasanya orang genapkan jumlah RM50, RM100 atau RM200, namun kakak ini mohon pinjam RM210, " kongsinya pada Ahad. Menurut Mohd Fadli, beliau meminjamkan wang tersebut kepada wanita berkenaan dan memberikan syarat untuk membayarnya mengikut kemampuan setiap bulan. "Kakak ini berpegang sungguh pada janji. Setiap bulan dia akan bayar kadang kala RM10 dan RM20. "Pernah sekali RM50 dan pernah ada bulan tak dapat bayar tapi dia akan mesej maklumkan. "Semalam (Sabtu) kakak ini bayar RM7, satu jumlah yang sangat-sangat ganjil orang bayar namun rasanya hanya banyak itu yang dia mampu," ujarnya. Beliau menasihatkan orang ramai yang pernah berhutang supaya mencuba kaedah dilakukan wanita tersebut yang tanpa jemu membayar setiap bulan walaupun dalam kuantiti yang sedikit. "Semoga rezeki kakak ini dan keluarganya terus dimurahkan. Amin," katanya. Sumber: Sinar Harian
|
ADVERTISEMENT