Figura jelita ini boleh dikatakan antara pelakon wanita yang cukup bertuah kerana dapat berganding dengan barisan pelakon lelaki hebat tanah air. Sekali gus menjadikan nama Amelia Henderson terus mekar dalam bidang diceburi.
Mula berlakon dari usia kanak-kanak bukan bermaksud Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson mendabik dada dengan segala pengalaman yang dimiliki. Sebaliknya, Amelia mengakui dia teruja untuk bekerja dengan semua orang. Menurut Amelia yang kini terbabit dalam drama Kisah Cinta Kita bagi tayangan slot Akasia di TV3, dia tidak pernah memilih siapa hero yang perlu berlakon dengannya, termasuk pelakon lain yang terbabit. "Saya percaya pada rezeki. Untuk projek drama Kisah Cinta Kita ini saya berasa ia akan berjaya atau pun saya akan puas hati dengan apa yang kita dapat. Sebab orang yang terbabit. Tapi perkara ini bukan saya yang kawal untuk siapa berlakon dan sebagainya. Tapi kita kena percayakan semua yang terbabit dalam projek ini. "Saya berasakan pasukan produksi kali ini sangat terbaik. Bukan dengan Aedy saja, tapi daripada semua pelakon. Tenaga dan aura di lokasi semua sangat positif. Sudah tentu ia juga bergantung kepada ketua iaitu pengarah, Riza Baharudin. Sebab dia akan memastikan semua orang di lokasi selesa dan ada persekitaran yang baik untuk bekerja. Kalau ia sudah ditetapkan dengan baik oleh ketua, ia akan diikuti oleh semua orang. "Tak pernah tanya pun siapa pelakon lelaki dan lain-lain. Ia lebih bergantung pada masa. Sebab kita banyak kejar TX selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi banyak jadual penggambaran bertindih. Apa yang ada selepas ini pun masih menunggu tarikh," katanya.
Bagi Amelia yang popular menerusi drama Rindu Yang Terindah ditayangkan di TV3, apa yang menjadi pertimbangannya sebelum menerima sesuatu tawaran adalah skrip dan watak. "Pertimbangan saya adalah skrip dan watak. Sebab ini yang lebih saya pentingkan berbanding siapa pelakonnya. Sebab industri kita kecil saja, jadi saya nak ada peluang untuk bekerja dengan ramai orang. Barulah kita akan belajar. Saya kena rasa mungkin watak ini lain sikit dari sebelumnya, sebab saya pun tak nak dikata asyik bawa watak sama saja. "Sebelum ini pernahlah waktu awal-awal berlakon. Tapi sekarang, apa yang saya sudah buat cukup puas hati. Saya gembira dapat teroka banyak watak dan sudah tentu seronok apabila diberi kepercayaan melakonkan watak berbeza. Dalam drama Kisah Cinta Kita ini saya lakonkan dua watak. Ia lebih menarik sebab saya boleh tunjukkan versatil dalam lakonan. Sebab dua karakter berbeza walaupun watak sama," katanya.
Biarpun baru menginjak usia 21 tahun pada 20 Oktober lalu, Amelia berkata dia seronok dapat melakonkan pelbagai watak meski ia jauh berbeza dari umur sebenarnya. "Saya 'enjoy' dengan semua watak diberikan. Saya letakkan ini semua sebagai berlakon walaupun umur masih muda dan kena bawa watak isteri. Saya tak perhatikan sangat pun sama ada watak itu sama dengan realiti sebenar. "Sebab saya rasa, akhirnya kalau kita dapat bawa watak yang berbeza dari kehidupan sebenar, itu lagi rasa berlakon. Kalau ambil yang lebih kurang sama dengan realiti sebenar, apa lakonannya? Saya okay saja, tapi kalau benar-benar berbeza lagilah saya suka. Bagi saya ia adalah cabaran. Cabaran inilah yang menarik. Jika tidak ia akan bosan," katanya.
Berkongsi mengenai lakonannya dalam drama terbitan A Aida Productions Sdn Bhd itu, Amelia yang pertama kali bekerjasama dengan pelakon Aedy Ashraf dan pengarah, Riza Baharudin mengakui ia satu pengalaman yang menarik. "Sebenarnya drama ini tidak banyak cabaran, tapi ini antara set drama yang paling seronok saya terbabit. Pertama, sudah lama saya nak bekerja dengan Abang Riza, akhirnya dapat juga peluang itu. Sebelum ini ada tawaran dan hampir bekerjasama, tapi tak jadi. Tak apa, sebab akhirnya rezeki datang balik, sekarang dapat juga. "Seronok dapat bekerjasama sebab dia pengarah yang sangat membantu dari banyak segi. Kami selalu berbincang untuk setiap babak selain terbuka untuk menerima idea daripada saya dan kami kongsi bagi menghasilkan karya yang menarik dan orang akan suka. Dengan Aedy pula, dia okay sangat. Dia pelakon yang hebat. Dia boleh berikan tenaga dan mudah untuk kita bekerja. Semua pelakon pun boleh serasi dan selesa buat kerja," katanya. Ditanya siapa pengarah dan pelakon yang ingin bekerjasama lagi selepas ini, Amelia menyerahkan perkara itu pada rezeki.
"Banyak sebenarnya dalam senarai, tapi setakat ini saya sangat bersyukur rezeki yang saya dapat semuanya bekerja dengan mereka yang bagus. Saya tidak ada lagi pengalaman yang kurang menarik. Saya berasa sangat bersyukur," katanya. Dalam masa sama, Amelia turut berkongsi perancangan lima tahun ke depan ini yang mana dia mahu terbabit dalam bidang perniagaan. "Lima tahun akan datang ini mungkin sebagai ahli perniagaan. Sebab saya baru saja buka studio fotografi dan pejabat. Saya nak cuba dan ambil peluang yang ada. Pada usia muda ini, saya tidak mahu sia-siakan masa yang ada. Selagi masih ada kesempatan. Kalau bahagian kecantikan sudah terlalu ramai, mungkin saya nak cuba dalam penyediaan makanan pula," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|