Biarpun wajahnya semakin jarang kelihatan di kaca televisyen mahu layar perak, ia bukan bermakna pelakon Liyana Jasmay, 33, meletakkan titik noktah dalam lakonan, sebaliknya lebih aktif dalam dunia di sebalik tabir sebagai pengarah kreatif.
Mengakui masih berlakon, namun, buat masa ini, Liyana lebih fokus dalam pembikinan supertele terbaharu berjudul Cikgu VS Hantu terbitan syarikatnya, Mermaid Studios. Aktres yang pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-22 itu berkata, dia terbabit dengan filem Baik Punya Ah Long bersama Datuk Afdlin Shauki, tahun lalu.
"Bagaimanapun, saya belum sempat mengambil tawaran lakonan memandangkan penggambaran banyak kali tertunda. "Sepatutnya, saya mungkin sudah ada masa untuk berlakon drama lain, tetapi disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi banyak yang terpaksa dipinda. "Jadi, buat masa ini, saya mahu menyiapkan projek syarikat yang tertangguh dahulu," katanya kepada BH Online.
Katanya, kesibukannya sebagai pengarah kreatif antara salah satu faktor terpaksa memilih tawaran lakonan. "Sesebuah penggambaran drama atau filem perlu mengikut jadual saya. Mungkin saya boleh terima tawaran untuk projek yang tidak memakan masa lama, mungkin antara lapan hingga 10 hari. "Namun, tiada masalah sekiranya berlakon dalam naskhah terbitan syarikat sendiri. Saya boleh atur masa mengikut kesesuaian. Jika bertanya sama ada saya menolak tawaran orang lain, ia bergantung pada keadaan.
"Jika tawaran menyeronokkan, susah juga untuk saya menolaknya dan cuba atur masa. Kalau kawan minta tolong, saya pastinya akan cuba buat," katanya. Liyana berkata, dia teruja dapat kembali ke lapangan bagi mengarahkan supertele bergenre komedi seram, Cikgu VS Hantu, lakonan Juliana Evans, Afdlin dan Khir Rahman. Katanya, itu adalah penggambaran pertamanya selepas beberapa bulan berehat ekoran pelaksanaan PKP 3.0.
"Ini adalah penggambaran pertama selepas pelaksanaan PKP 3.0. Sebelum ini, saya ada merakamkan travelog pada April lalu dan ini juga adalah naskhah drama Mermaid Studios selepas beberapa bulan tidak beroperasi. "Saya merancang penggambaran supertele ini sebelum PKP 3.0, di mana skrip sudah siap sejak tahun lalu. Jadi, penggambarannya sepatutnya dimulakan selepas Aidilfitri lalu, tetapi situasi penularan COVID-19 teruk dan penggambaran tidak dibenarkan," katanya. Mengulas pandangan pelakon menolak suntikan vaksin, Liyana menghormati pendirian masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, semua pelakon yang bekerja dengan produksinya sudah menerima vaksinasi lengkap. "Setakat ini, saya memilih pelakon lengkap vaksin. Saya tahu vaksin menjadi isu yang sangat sensitif, jadi terpulang pada individu kerana tidak boleh memaksa. "Namun, ambillah vaksin jika tidak mahu mendatangkan risiko pada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling," katanya. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|