Dilancarkan hampir sebulan yang lalu sempena dengan penganjuran tirai pameranBMW World Malaysia, jentera supercar BMW i8 plug-in hybrid pantas mencuri tumpuan peminat automotif di negara ini. Ia merupakan plug-in hybrid supercar yang pertama dihasilkan oleh BMW dengan mengetengahkan BMW Concept Vision Efficient Dynamics. Dengan enjin 1.5 liter TwinPower Turbo tiga-silinder, BMW i8 ini mampu memuntahkan kuasa sehingga 231 hp dan tork setinggi 320 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik StepTronic Sport enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa menerusi roda belakang.
Menambahkan kehebatannya, BMW i8 ini turut digabungkan dengan motor elektrik yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 131 hp menjadikan kuasa keseluruhan (bersama enjin konvensional) menjadi 362 hp pada 5,800 rpm dan tork puncak 570 Nm antara 1,200 hingga 5,000 rpm. Sekali gus membolehkan supercar ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 4.4 saat dan kelajuan maksimum pula 250 km/j. Sementara penggunaan bahan apinya dicatatkan pada 47.6 km/l. Dengan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, BMW i8 ini mampu dipacu sehingga 35 km dengan kelajuan maksimum 120 km/j. Dan bateri hibridnya hanya mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk dicas dengan menggunakan soket kuasa domestik, atau hanya dua jam dengan BMW i Wallbox. Selain memiliki imej luaran yang futuristik, rekaan dalamannya juga menarik perhatian. Dengan kekemasan termasuk balutan kulit ‘Spheric’ dengan warna kontra BMW i Blue untuk tali pinggang keselamatan, i8 ini menampilkan bentangan tempat duduk 2+2. Bahagian papan pemukanya turut digayakan dengan skrin HD bersaiz 10.25-inci termasuk menampilkan sistem Navigasi BMW dengan iDrive Touch Controller. Kawalan Pengalaman Pemanduan pula menampilkan beberapa mod pemanduan termasuklah Eco Pro. BMW i8 ini ditawarkan pada harga RM 1,188,800.00 (termasuk BMW i Wallbox) bersama GST tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan juga waranti lapan tahun bagi pek bateri hibrid. kredit:infokereta.com
|
ADVERTISEMENT