KUALA LUMPUR: Ketua Balai Polis Menglembu, ASP Chen Ah Kooy dinasihat tidak terlalu berani dengan membuat video berdurasi 41 saat yang mengugut peminjam wang tidak berlesen atau ah long untuk tidak menggantung poster iklan pinjam wang terutama di sekitar Menglembu, Perak.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakannya walau sebagai seorang pegawai polis juga perlu lebih berhati-hati dan tidak terlalu kasar sehingga menyebabkan risiko kepada diri sendiri.
"Kita risau keselamatannya dan pegawai polis lain. Memang apa yang dikatakannya bagus dan tegas namun dia dan anggota lain akan berhadapan dengan risiko serangan balas yang lebih ganas daripada ah long berkenaan.
"Memang rakyat memandang video itu tanda keperibadian dan tingkah laku sikap seorang pegawai polis kanan yang bagus namun ugutan bunuh kepada ah long boleh menimbulkan perkara yang lebih buruk," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Ah Kooy dilaporkan mengeluarkan video yang sedang 'viral' di media sosial sekali gus menjadi bukti polis sudah tidak mahu berkompromi lagi dengan sindiket ah long.
Ah Kooy yang berpakaian seragam dengan cermin mata hitam, membuat amaran kepada ah long yang menjadikan kawasan sekitar Menglembu sebagai lokasi menampal poster atau iklan pinjaman wang.
Abdul Rani turut menasihatkan agar pengedaran video itu harus segera dihentikan sebelum kumpulan ah long mengambil langkah serangan balas yang lebih kejam.
"Pasti ah long rasa tercabar dengan video itu, takut mereka rasa ia keterlaluan.
"Rakyat juga pasti melihat dan melabel sikap semua pegawai polis seperti Ah Kooy, ia akan menjatuhkan kredibiliti polis pada mata masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, sebuah portal melaporkan kenyataan Ketua Polis Ipoh Sum Chang Keong yang menyifatkan klip video Ah Kooy itu sebagai melampau.
"Adalah ditegaskan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Polis Balai Menglembu tanpa dirujuk atau dibincangkan dengan pihak pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
"Selain itu ayat dan bahasa yang digunakan oleh Ketua Polis Balai Menglembu adalah tidak sesuai," kata Chang Keong.
Abdul Rani yang terkenal dengan identiti berkaca mata hitam dan memakai seragam anggota keselamatan sebelum ini pernah memberi amaran kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk tidak memesongkan ungkapan barua yang ditujukan kepada anggota polis kononnya hanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|