Walaupun sudah mengenakan hijab Ummi Nazeera masih lagi ditawarkan watak yang sesuai dengan imejnya yang sudah bertudung. Dia yang 2 tahun menyepi dari industri kini kembali dengan menjalani sesi penggambaran Cik Puan Sinderella bersama aktor, Aeril Zafril minggu hadapan. Mengakui bahawa ianya tuah, aktres berusia 25 tahun ini ditawarkan watak yang sesuai dengan imejnya sekarang. “Dulu memang saya risau apabila bertudung tidak banyak watak yang boleh saya bawa, tapi syukur Alhamdulillah, watak yang saya ditawarkan kepada saya sentiasa disesuaikan dengan imej saya sekarang. “Malah dalam drama ini, saya tetap menutup aurat waima babak pada waktu tidur." ujarnya. Dia tidak merasa janggal melakonkan babak bertudung kerana sudah terbiasa dengan keadaan di rumahnya. Ini kerana aktres tersebut mempunyai pembantu lelaki dan dia akan pastikan dirinya lengkap bertudung apabila keluar dari bilik.
Sementara itu, berkongsi perasaannya dilantik sebagai duta PBSM negeri Terengganu, Ummi berkata, dia berharap pelantikannya itu sebagai galakan kepada golongan belia menyertai bidang kesukarelawan. Ummi yang juga Pengarah Eksekutif Pointray (M) Sdn Bhd berkata, dia berharap dengan pelantikan itu dapat memberi lebih banyak ruang buatnya bagi menyertai aktiviti sukarelawan sekiranya berlaku bencana. “Saya harap selepas ini saya berpeluang untuk turun padang membantu mereka-mereka yang terlibat bencana sekali gus dapat menarik minat golongan belia dan muda mudi di negeri ini untuk sama-sama menjadi sukarelawan,” katanya. |
ADVERTISEMENT