Nafi Telur Ayam Dijual 50 Sen Sebiji
ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan orang ramai tidak mempercayai khabar angin mengenai kenaikan harga barangan melampau.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pengguna diminta tidak terpengaruh penyebaran aplikasi WhatsApp kenaikan harga ketika banjir di pantai timur.
"Contohnya, penyebaran kisah mengenai harga telur ayam yang dijual dengan harga 50 sen sebiji, sedangkan, ia tohmahan melulu dan langsung tidak munasabah.
“Namun, apabila pemeriksaan dijalankan, harga barang seperti biasa. Jadi, sebarang maklumat diperoleh dalam WhatsApp tidak boleh diguna pakai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Mengkudu kepada 448 murid semalam. Turut hadir, Guru Besar SK Alor Mengkudu, Abdul Karim Md Hanifaa, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Yaacob Awang dan Naib YDP PIBG, Khairul Badri Ahmad.
Malah, katanya, pihaknya memberi jaminan harga barangan keperluan kembali sedia kala menjelang musim Tahun Baharu Cina nanti, meskipun ia dilaporkan naik selepas bencana banjir.
Bagaimanapun, katanya, kita perlu tunggu pengumuman skim kawalan harga musim perayaan nanti untuk memastikan semua barangan keperluan mencukupi.
“Jadi, pengguna dinasihatkan supaya tidak bimbang mengenai harga meningkat kerana kekurangan bekalan barangan ketika musim perayaan nanti,” katanya.
Malah, katanya, semua peniaga diminta tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga mereka kerana barangan keperluan didapati mencukupi.
Menurutnya, pihak mereka masih belum menerima sebarang aduan kenaikan harga barangan melampau dalam Ops Pasca Banjir, namun tetap menjalankan pemantauan.
Ahmad Bashah berkata, hanya negeri terlibat banjir berlaku kenaikan harga akibat kekurangan bekalan harian.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Bashah berkata, peniaga terlibat banjir pantai timur sudah memulakan perniagaan mereka, meskipun tidak sepenuhnya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|