Nomad undur diri dari bidang nyanyian? 7 Nov – Penyanyi dan pencipta lagu Nomad telah mengambil keputusan untuk berundur seketika dalam bidang nyanyian bagi memperbaiki kelemahannya dan bukannya kerana masalah dengan syarikat naungannya. "Bukan sebab konflik, bergaduh atau apa-apa masalah, tapi saya terpaksa ambil keputusan untuk berundur dengan pengurusan kerana masalah dalaman saya sendiri. "Dilema saya adalah saya tidak boleh menyanyi secara langsung dengan baik setiap kali dipanggil untuk persembahan program televisyen. "Ini bukan perkara baru dan tetap berlaku sampai sekarang. Banyak kali sudah ditegur dan sudah macam-macam usaha saya buat tapi tetap sama. "Jadi saya fikir sudah tiba masa saya ambil inisiatif untuk berehat dulu dan perbaiki kekurangan itu daripada terus menyusahkan orang lain," katanya kepada Harian Metro. Terdahulu, ada desas-desus mengatakan syarikat rakamannya InDigital Sdn Bhd akan melepaskan Nomad daripada pengurusan dalam masa terdekat kerana sudah tidak mampu bertolak ansur dengan Nomad yang dikatakan tidak mempunyai inisiatif untuk memperbaiki kelemahannya. Sementara itu, berikutan pengunduran itu Nomad akan memberi tumpuan pada perniagaan milik keluarganya di Kemaman, Terengganu.
|
ADVERTISEMENT