Tanya sama hazama.... JIKA sebelum ini dia terlibat dengan lakonan komedi menerusi filem Apa Celop Toq, kini penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia, Hazama kembali dengan filem lebih mencabar, Lari arahan Ahmad Idham. Ternyata, peluang lakonan yang diberikan kepadanya digunakan dengan sebaik-baiknya apabila lakonannya dalam Lari berjaya menawan hati penonton. Menurut Hazama, watak yang dipegang kali ini begitu mencabar memandangkan filem ini sarat dengan babak aksi berbanding filem terdahulu. "Banyak pengalaman baru yang saya belajar menerusi lakonan filem ini. Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk terlibat sama dalam lakonan ini kerana sedikit sebanyak ia dapat meningkatkan lagi mutu lakonan saya," katanya ketika ditemui di pra tonton filem Lari, minggu lalu. Katanya, dia mengharapkan lakonannya kali ini mampu membuka mata orang ramai untuk membuktikan kemampuannya dalam bidang lakonan. Tampil album pertama Bagaimanapun, Hazama mengakui bidang nyanyian adalah keutamaan baginya dan dia tidak pernah terfikir untuk berhenti, tambahan pula album pertamanya bakal keluar tidak lama lagi. “Insya-ALLAH, Jun ini saya akan keluar dengan album pertama berjudul Penglipur Lara. "Dalam album itu, terdapat sembilan buah lagu di mana ianya mengandungi enam buah lagu baru dan tiga lagu bonus, dan konsep keseluruhan album ini adalah pop rock Melayu," katanya. Menariknya mengenai album ini, Hazama memberitahu dia juga menghasilkan sebuah lagu yang diberi tajuk Dengarlah. "Alhamdulillah, setelah mengambil masa selama setahun lebih, akhirnya album ini berjaya disiapkan sepenuhnya. "Apa yang boleh saya katakan, album pertama ini menampilkan sisi berbeza saya yang selama ini hanya dikenali sebagai penyanyi rock kerana lagu-lagu yang dimuatkan miliki kelebihan tersendiri," jelasnya.
|
ADVERTISEMENT