Hafiz Masuk Kelas Vokal Demi Kris Dayanti Penyanyi, Hafiz Suip, 24, enggan dianggap ‘nama besar’ dalam industri seni walaupun sudah mengecapi pelbagai kejayaan di Malaysia dan negara jiran. Jelas Hafiz, pengalamannya masih belum cukup banyak untuk memegang gelaran tersebut. “Orang selalu panggil saya dengan gelaran ‘nama besar dalam industri’ sedangkan saya belum layak untuk menerima gelaran itu. Perjalanan saya dalam industri seni ini masih panjang dan masih banyak yang perlu saya pelajari,” ujar Hafiz ketika ditemui di majlis sidang media kedua konsert ‘Kris Dayanti Live in KL’ pada Khamis. Dipilih sebagai artis jemputan di konsert itu nanti, kongsi Hafiz, dia begitu teruja dapat mengadakan persembahan bersama diva dari seberang itu. “Dapat berduet dengan Kris Dayanti (KD) merupakan impian saya. Saya sangat berbesar hati dipilih sebagai artis jemputan di konsert itu nanti,” ujarnya berkongsi di akan menghadiri kelas vokal bagi memberikan persembahan yang terbaik di konsert tersebut. “Untuk setanding dengan KD pada malam konsert itu nanti mungkin agak sukar. Apa yang saya boleh lakukan hanya membuat persediaan yang begitu rapi termasuk menghadiri kelas vokal,” katanya. Walaupun masih hijau dalam industri, berduet dengan KD melengkapi profil Hafiz sebagai penyanyi baru yang sering berduet dengan diva termasuk Dato’ Siti Nurhaliza dan Dato’ Rossa. Kata Hafiz, dia berharap peluang berduet dengan KD memudahkan lagi laluan buatnya mengembangkan bakat di Indonesia. “Untuk mencipta nama di sana sangat sukar kerana terlalu banyak persaingan. Walaupun saya pernah ke sana untuk melebarkan sayap ke pasaran Indonesia, saya akui tak mudah untuk dikenali dan diterima oleh peminat di sana. Seorang penyampai radio di Indonesia pernah berkata jika lagu saya dapat dimainkan di radio Indonesia seminggu sekali pun dah cukup baik,” jelas Hafiz. Hafiz akan mendendangkan tiga buah lagu termasuk dua buah lagu duet bersama KD dan sebuah lagu secara solo di konsert itu nanti. ‘Konsert Kris Dayanti Live in KL’ akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 November depan. Tiket boleh didapati di www.ticketcharge.com.my pada harga RM98 sehingga RM1088.
|
ADVERTISEMENT