Harap Kerajaan Gubal 'Akta Mas' Tahun Depan Berdasarkan pelan pemulihan MAS bernilai RM6 bilion itu, syarikat akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia menjelang hujung tahun dan syarikat baharu (Newco) akan diwujudkan bagi meneruskan perniagaan syarikat. Bagi mempermudah penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu secara menyeluruh dan seiring perkembangan semasa, kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang baharu di Parlimen, dikenali Akta MAS. Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar berkata akta baharu itu sangat penting sebagai akta yang membolehkan dan usulnya dijangka dibawa oleh perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober. "Akta ini perlu disegerakan namun kami boleh menunggu sehingga tahun baharu bermula," katanya kepada pemberita di luar Forum Megatrends Khazanah 2014, di sini hari ini. Beliau berkata, Khazanah Nasional sudah memulakan usaha untuk menggubal Akta MAS dengan Pejabat Peguam Negara. Azman berkata, sebulan selepas pelan pemulihan MAS itu diumum, banyak sesi komunikasi antara Khazanah Nasional, MAS dan kerajaan diadakan. Sementara itu, Azman hari ini turut mengesahkan bahawa Khazanah Nasional akan menyenaraikan Themed Attractions and Resorts Sdn Bhd di Bursa Malaysia, namun perkara tersebut tidak akan dibuat pada tahun ini. "Syarikat taman tema itu mencatat prestasi baik dan kita tidak mahu tergesa-gesa menyenaraikannya. "Ini satu keputusan yang akan dibuat secara bersama oleh lembaga pengarah Khazanah dan Themed Attractions," katanya.
|
ADVERTISEMENT