Yana Samsudin Mula Bersikap Sombong Yana menjelaskan faktor dia menguruskan kerjayanya tanpa bantuan pembantu membuatkan dia kadang-kala terlepas pandang panggilan yang dibuat kepadanya. Foto Ihsan ROTIKAYA. PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin menyangkal dakwaan kononnya dia sudah berubah dan bersikap sombong sehingga sukar dihubungi oleh pihak media untuk mendapatkannya bagi sesi fotografi ataupun temu bual. Yana, 30, menjelaskan, faktor itu disebabkan dia kini menguruskan kerjayanya tanpa bantuan pembantu disamping kesibukannya di lokasi penggambaran membuatkan dia kadang-kala terlepas pandang mengenai panggilan yang dibuat kepadanya. "Saya bukannya sombong cuma apabila tidak lagi mempunyai pengurusan semua perkara terpaksa saya lakukan sendiri tanpa bantuan sehingga kadang-kadang saya terlepas pandang panggilan atau pesanan yang dihantar kepada saya. "Tambahan pula telefon saya diformat baru-baru ini dan kehilangan semua nombor menyukarkan lagi saya mengenali siapa yang membuat panggilan. "Sudah empat bulan saya bergerak sendiri dan masih menyesuaikan diri jadi banyak perkara yang perlu saya beri perhatian," katanya kepada mStar Online.
Izzue dan Yana dilantik sebagai duta jenama Super. Yana ditemui pada majlis pelantikannya bersama aktor Izzue Islam sebagai duta produk Super 'The Secret To A Smile' di Cathay Cineplex E@curve di sini pada Khamis. Dalam pada itu, Yana menjelaskan, kehadiran adik kepada pelakon Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari yang menemaninya di majlis-majlis hiburan bukan sebagai pengurus sebaliknya berdasarkan projek tertentu sahaja. Yana turut menegaskan hubungannya dengan Fadzil yang dikatakan sedang bercinta tidak benar sebaliknya mereka hanya sekadar berkawan. "Seperti mana majlis hari ini (pelantikan sebagai duta Super) dia terlibat dalam projek ini jadi dia hadir bersama-sama saya. Tetapi dia bukan pengurus saya. "Kami memang tiada apa-apa jadi buat apa saya ingin mengada-adakan cerita yang tiada," katanya. Izzue dan Yana bersama Pengarah urusan Super Food Marketing Sdn Bhd Steven Lim pada majlis memperkenalkan mereka sebagai duta produk jenama berkenaan. Sementara itu, Yana berkata, dia amat terharu apabila dipilih sebagai duta jenama Super kerana ia adalah produk pertama yang melantiknya sebagai duta sepanjang 10 tahun dia terlibat dalam bidang seni. Bagaimanapun kata Yana, sebelum bersetuju dia meminta untuk mencuba terlebih dahulu kopi yang dihasilkan dan hanya bersetuju selepas berpuas hati dengan produk berkenaan. "Saya jujurnya bukan penggemar kopi sebab itu saya minta untuk cuba dahulu sebelum bersetuju menjadi duta kerana tidak mahu hanya mewakili produk berkenaan tanpa mencuba sendiri. "Kontrak ini juga adalah yang pertama dan terbesar yang pernah saya dapat sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni dan Alhamdulillah dengan rezeki diberikan oleh Allah," katanya. |
ADVERTISEMENT