Nasihat Adam (AF), Fikir Panjang Sebelum Cerai Adam dan Fiza akhirnya sepakat untuk kembali rujuk pada 17 Julai lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Adam (AF2) mengambil iktibar bahawa perceraiannya dengan pelakon Fiza Abdul Halim pada 28 April lalu adalah satu keputusan yang disifatkan terburu-buru.
Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 31, berkata sepatutnya dia dan isteri perlu berfikir panjang sebelum membuat keputusan untuk bercerai, namun menganggap apa yang telah berlaku ada hikmahnya. "Apa yang telah berlaku mengajar kami bahawa dalam rumah tangga, kita tidak boleh membuat keputusan terburu-buru jika timbulnya sesuatu masalah. "Jangan ikut perasaan sahaja kerana ia boleh membawa padah. Kerana emosi juga, kita boleh membuat keputusan yang buruk sehingga bercerai apabila berbalah," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis. Adam dan Fiza, 33, telah bernikah pada 26 September 2013 hanya selepas dua bulan berkenalan. Namun pada 28 April lalu iaitu selepas tujuh bulan bergelar suami-isteri, kedua-dua mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.
Bagaimanapun, selepas menyedari kesilapan masing-masing, pasangan itu akhirnya sepakat untuk kembali rujuk pada 17 Julai lalu. Sementara itu, Adam turut mengakui, sejak dia dan Fiza kembali bersama, mereka dapat merasai kebahagiaan yang lebih berbanding sebelum ini selain menghargai antara satu sama lain. Malah mereka juga dalam proses mengenali lebih mendalam tentang hati budi masing-masing. "Sebelum ini kami tidak pernah bercakap pun tentang apa yang suka dan kami tidak suka dalam perhubungan ini. Tetapi apabila berbincang tentang perkara ini ia buatkan kami lebih faham keperluan dan keinginan antara satu sama lain. "Ia juga membuatkan kami lebih matang dalam menangani sesebuah masalah yang timbul. "Alhamdulillah, cuma sema sekarang ini kami berdoa agar mempunyai cahaya mata dengan segera, doakan kami," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Adam kini mula menceburi perniagaan dalam bidang perkhidmatan manakala Fiza pula bakal terlibat dengan produk kecantikan. FOTO MESRA LEPAS RUJUK |
“Kami tinggal bersama sewaktu tempoh edah. Apabila saya bekerja di luar, saya akan duduk di rumah saya di Damansara dan apabila saya ada masa terluang, saya akan duduk di rumah Fiza di Taman Melawati. Bukan hari-hari tapi ada masanya.Saya ada menonton ceramah Ustaz Azhar idrus di Youtube dan dia memberitahu mengenai hukum-hakam bagi mereka yang sudah bercerai.Kami hanya bercerai talak satu dan dia masih isteri saya. Saya masih perlu jaga makan dan pakainya. Wajib sebenarnya bagi pasangan yang bercerai untuk tinggal bersama sepanjang tempoh edah, namun cuma tak boleh bersama dan harus tinggal di bilik yang berasingan.Selain melakukan solat Istiqharah, saya turut mengamalkan daa-doa seharian agar jodoh kami berpanjangan. Kami juga berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri masing-masing.Selain doa saya, Fiza dan keluarga kami, doa tidak henti daripada peminat juga memainkan peranan penting dalam penyatuan semula kami.”
“Kami tidak bercakap mengenai soal rujuk bukan kerana ego, namun kami menggunakan tempoh edah itu untuk berfikir secara mendalam.Kami berfikir panjang dan bertanya sama ada selepas bersatu semula, adakah kami akan serasi lagi. Apa yang kami tahu, masing-masing mahukan perkara ini dan kami sedar yang kami perlukan antara satu sama lain.”Bagi saya tidak ada penyesalan ketika saya membuat keputusan untuk melafazkan cerai pada masa itu kerana ia memberi masa kepada kami untuk memperbaiki kesilapan masing-masing.Saya anggap apa yang berlaku adalah takdir dan saya percaya setiap hamba Allah diberi ujian yang pelbagai atas kemampuan diri masing-masing. Saya redha dan sentiasa meminta doa agar diberi petunjuk.”
ADVERTISEMENT