KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2014: Pelakon dan penyanyi, Ifa Raziah telah selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketulan di payudaranya akibat virus di Beverly Willshire Medical Centre, Jalan Tun Razak pada jam 12 tengahari semalam. Suaminya, Mohd Yani Abdul Rahman berkata Ifa kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan selama tujuh jam semalam. “Dia (Ifa) kini sudah berada dalam keadaan stabil cuma masih lagi tidak bermaya.Dia kini sedang menjalani beberapa rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang tiga hingga empat hari lagi,” katanya kepada murai.com.my ketika dihubungi. Ifa Raziah dilaporkan terkena jangkitan virus di bahagian payudara sehingga membuatkan payudaranya membengkak dan keras seperti ada ketulan sejak tahun 2011. Menurut Yani, Ifa kelihatan amat gementar dan takut sebelum pembedahan dilakukan namun ianya terpaksa juga diteruskan selepas dia beberapa kali mengadu sakit. “Dia memang amat takut untuk menjalani pembedahan ini, saya pun pelik kerana dia sebelum ini adalah seorang yang berani. “Tapi syukur semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya lagi. Ifa kini perlu berehat selama sebulan bagi dan terpaksa menolak segala tawaran show di bulan Ramadan bagi mendapatkan rehat yang secukupnya selepas pembedahan itu dilakukan.
|
Payudara Ifa Raziah Diserang Virus
Emel: [email protected]
KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2011: Dalam kesibukan membuat persiapan persembahan minggu ke-8 Maharaja Lawak Mega (MLM), ahli kumpulan Syok, Ifa Raziah terpaksa dikejarkan ke hospital Pantai Bangsar untuk menerima rawatan, malam semalam.
Portal murai.com.my diberitahu, Ifa Raziah dilaporkan terkena jangkitan virus di bahagian payudara sehingga membuatkan asetnya itu membengkak dan keras seperti batu.
Ketika dihubungi, Ifa Raziah yang baru saja selesai menjalani pembedahan ultra sound memberitahu, penderitaan penyakitnya itu sudah pun dilalui sejak dia menyertai MLM.
"Sekarang ini, Ifa baru saja selesai menjalani ultra sound. Ifa masih lagi menunggu jawapan daripada doktor. Mengikut makluman doktor, terdapat virus dalam air di bahagian payudara Ifa yang membuatkan bahagian berkenaan keras seperti batu.
"Selepas rawatan ini, doktor telah menasihati agar menjalani pembedahan dalam kadar segera. Sepatutnya Ifa kena buang ketulan membengkak itu dalam masa terdekat. Bagaimanapun disebabkan Ifa sibuk dengan MLM, Ifa ketepikan seketika soal sakit ini.
"Apa sekalipun, Ifa harap janganlah peminat salah sangka terhadap apa yang diberitahu ini. Ifa bukannya sakit disebabkan mahu membuat pembedahan payudara untuk masukan silikon," katanya.
Dalam pada itu, Ifa sekeras-kerasnya menafikan dia disyaki menderita sakit kanser payudara walaupun jauh di sudut hatinya takut mendengar tentang kanser tersebut.
"Doktor telah memberitahu, sakit Ifa ini bukanlah kanser payudara. Kalau kanser, pesakit tidak akan merasa sakit dan ianya akan terus membunuh mangsa dalam diam. Pun begitu, Ifa tidak boleh menipu, dalam hati Ifa, rasa takut terkena kanser itu ada bermain difikiran Ifa.
"Ianya kerana arwah ibu Ifa memang pernah sakit kanser payudara. Jadi, peluang Ifa diserang kanser itu memang senang disebabkan keturunan yang menderita sakit berkenaan. Ifa berharap, semua mendoakan yang terbaik untuk Ifa. Semoga Ifa boleh teruskan perjuangan dalam MLM dan seterusnya dalam bidang seni.
"Sejujurnya, Ifa bukannya mahu meraih simpati sesiapa. Oleh itu, Ifa sebolehnya tidak mahu kecoh tentang sakit yang Ifa alami ini. Ifa takut, orang ingat Ifa mahu cari publisiti murahan. Ifa dah sakit lebih sebulan iaitu sejak mula-mula Ifa menyertai MLM lagi. Namun, Ifa tahan sakit ini sendiri," jelasnya.
Portal murai.com.my berharap Ifa segera pulih dan boleh meneruskan perjuangan dalam MLM dengan persembahan yang menghiburkan.
ADVERTISEMENT