BAGI kebanyakan peniaga dan pelacur jika aktiviti Gang Dolly ditutup hanya akan mengakibatkan masalah pengganguran dan kecurian akan lebih banyak berlaku. BUKAN mudah sebenarnya untuk pihak berkuasa di Indonesia membasmi aktiviti maksiat. Apa lagi, ketika segelintir masyarakat sudah menerima hal-hal yag bertentangan dengan ajaran agama sebagai sebahagian daripada budaya mereka.
Di Surabaya misalnya, terdapat satu kawasan pelacuran yang sudah lebih empat dekad beroperasi dan menjadi tarikan kepada warga setempat dan orang asing yang mahu melanggan pelacur.
Dikenali sebagai Gang Dolly (Lorong Dolly), lokasi kemaksiatan itu sangat masyhur sehingga menyebabkan setiap pengunjung Surabaya tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke sana. Berada di Gang Dolly persis berada di Bangkok. Rumah-rumah yang dicat warna merah jambu dan diterangi lampu diserikan dengan kehadiran banyak wanita yang berusia awal 20-an sehingga menjangkau usia warga emas menanti kehadiran pelanggan. Dalam lorong yang sempit itu, kenderaan bertali arus membuatkan suasana sangat hingar-bingar ditambah pula dengan pedagang kaki lima juga sibuk mencelah menjual barang-barang perniagaan mereka. Bagaimanapun, menjelang 19 Jun ini, keriuhan dan suasana hingar-bingar di Gang Dolly bakal lenyap dan sekali gus menandakan berakhirnya bisnes seks di kota kedua terbesar di Indonesia itu. Ini kerana, menjelang tarikh itu, pemerintah kota Surabaya bakal menutup Gang Dolly - lorong pelacuran yang sudah lama bersarang di situ. Sejak sebulan dua yang lalu, berita penutupan Gang Dolly mendapat perhatian meluas media tempatan menyebabkan saya ditemani dua teman berkunjung ke sana untuk melihat dengan sendiri bagamana ‘wajah sebenar’ lorong gelap itu. Selama ini, saya sekadar mendengar dan membaca laporan Gang Dolly di media massa tanpa pernah ke sana. Untuk ke sana, saya dan dua teman menyewa sebuah teksi yang membawa kami melintasi kawasan pelacuran itu. Sekadar duduk di dalam teksi, saya leka mendengar kisah ‘kemasyhuran’ Gang Dolly daripada pemandu teksi. Kata pemandu itu, Gang Dolly cukup terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa menyebabkan ramai pelancong asing ke sana. Sepanjang perjalanan itu saya berfikir, kenapa perlu pusat pelacuran sebesar ini di sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam boleh dibiarkan bebas beroperasi? Tidakkah ini hanya memberi imej dan reputasi yang kurang baik terhadap Indonesia? Namun, jawapan daripada pemandu teksi itu menjawab pertanyaan saya. Katanya, Gang Dolly ialah lubuk pencarian rezeki kepada sebilangan besar warga setempat. “Kalau ditutup Gang Dolly, pengganguran akan lebih tinggi, masalah sosial lain seperti kecurian akan lebih banyak berlaku. Bahkan pelacuran juga akan tetap berjalan seperti biasa. Bezanya bukan lagi di rumah pelacuran tetapi mungkin di rumah pelanggan. Itu akan menyebabkan keadaan lebih gawat," kata pemandu itu lagi. Mogok Walaupun Gang Dolly akan ditutup menjelang bulan Ramadan ini, namun Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini menegaskan, pihak berkuasa tempatan sudah menyiapkan pelan untuk membantu golongan yang terjejas apabila lokasi maksiat itu ditutup kelak. Sekalipun sejumlah pampasan sebagai ganti rugi ditawarkan pihak pemerintah, namun penutupan Gang Dolly tidak menarik minat warga setempat. Sebaliknya, warga setempat termasuk pelacur di situ mahu Gang Dolly terus dibenarkan beroperasi. Sejak sebulan yang lalu, warga setempat menolak sekeras-kerasnya usaha kerajaan untuk menghapuskan kawasan pelacuran itu dengan mengadakan mogok atau tunjuk perasaan. Warga setempat mendakwa, penutupan Gang Dolly bukan sahaja akan mengancam ekonomi pelacur-pelacur di situ, bahkan termasuk mereka yang menjaga parkir, pedagang kaki lima, tukang beca, pengusaha salun sehinggalah kepada pedagang pasar tradisional. Bagi Iwan yang mengelola bisnes parkir sejak 1980-an mengakui, dia bakal gulung tikar seandainya Gang Dolly benar-benar ditutup. “Hidup mati kita di sini!" luah Iwan. Bagi setiap kereta yang mahu meletak kenderaan, mereka dikenakan bayaran Rupiah (Rp) 10,000 (RM3) untuk setiap sejam sementara motosikal pula dikenakan bayaran Rp5,000 (RM1.75). Kekhuatiran yang sama turut disuarakan pekerja seks di situ yang terpaksa meninggalkan daerah kemaksiatan yang mula beroperasi sejak 1966. “Saya menanggung hidup ayah, ibu, seorang anak dan dua saudara lain. Kalau Gang Dolly ditutup, apa lagi cara dan usaha saya untuk memberikan mereka makan," kata Tia, seorang pelacur di Gang Dolly. Wanita berusia 32 tahun itu berkata, setiap bulan, dia akan menghulurkan antara Rp3 juta (RM900) sehingga Rp4 juta (RM1,200) kepada keluarganya hasil daripada melacur. Sejak terdengar laporan penutupan Gang Dolly, Tia mengakui, pendapatannya turun secara mendadak khususnya sejak dua bulan terakhir ini. Sebelum isu penutupan Gang Dolly diperkatakan, pendapatan Tia setiap bulan boleh mencecah Rp 20 juta (RM6,000) setiap bulan dengan purata pelanggan dilayannya ialah 10 orang setiap malam. Tetapi kini, pendapatanya menurun sehingga Rp 7 juta (RM2,100) sebulan. “Satu hari cuma dapat tiga hingga empat pelanggan sahaja," katanya. Bagi Ketua Rukun Tetangga di sebuah penempatan di Gang Dolly, Teguh, kegiatan ekonomi di kawasan pelacuran itu selama lebih empat dekad dipacu oleh perniagaan perkhidmatan seks. Penutupan Gang Dolly kata Teguh, hanya akan menyebabkan semua yang terlibat dalam urusan perekonomian di situ akan sengsara kerana kehilangan punca pendapatan. “Kami hidup di sini. Jadi tolong jangan ganggu hidup kami!" ujar Apeng seorang lagi warga setempat merayu kepada pihak berkuasa agar mendengar suara hati mereka. Apeng sama sekali tidak boleh menerima alasan masalah moral dengan perniagaan seks yang ada di Gang Dolly. Kata Apeng, tanpa adanya Gang Dolly sekalipun, kegiatan pelacuran tetap berlaku bahkan, ada sesetengahnya jauh lebih liar daripada apa yang disangkakan masyarakat. |
lkick2113 posted on 19-5-2014 04:19 PM
om tak perna pergi sana???
ADVERTISEMENT