.
Ya, anda tidak tersalah baca. Memang benar penyanyi dan pelakon Awie akan muncul dengan 'imej' bercawat. Tetapi penampilan itu hanya akan dapat dilihat oleh para penonton pada April tahun depan menerusi sebuah teater berjudul 'Rajang' yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB). "Kalau perempuan boleh berkemban, kenapa pula lelaki tak boleh bercawat", katanya dengan nada bergurau ketika ditemui di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini. Vokalis kumpulan Wings ini berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terbarunya.
Beritahu Awie lagi, beliau kini sedang dalam proses menurunkan berat badan sebagai persiapan untuk teater tersebut. Selain sebelum itu beliau akan menjayakan 'Teater Supermokh' musim kedua yang akan dipentaskan juga di Istana Budaya pada September ini "Saya akan sibuk di pentas 'Teater Supermokh musim kedua yang akan dipentaskan pada September ini. Selain itu sekarang ini saya juga sedang membuat persediaan bagi menjayakan teater 'Rajang'. "Ia sebuah teater yang menceritakan tentang kehidupan pahlawan di Sarawak", katanya sempat meluanggkan masa beberapa minit bersama media sebelum terpaksa bergegas untuk ke Damansara bagi menjalani proses dubbing filem 'Gangster Superstar', arahan Khabir Bahtia. Mengulas lebih tentang watak memerlukan beliau bercawat, Awie berpendapat dalam soal menghidupkan satu-satu watak sekaligus menjadikan jalan cerita sesebuah naskah itu lebih realistik, beliau sedia melakukan apa saja seperti yang dituntut oleh karakter yang akan dilakonkan nanti. "Untuk watak itu saya akan bercawat dan badan saya akan dilukis dengan tatu. Saya tiada masalah nak bercawat. Sebab kisah yang akan dipersembahkan nanti tentang seorang pahlawan berketurunan dayak dari Sarawak. Jadi memang kehidupan dan cara orang dayak pada masa itu di sana memang begitu. Mereka bercawat dan mempunyai tatu", katanya. Dalam perkembangan lain, beliau sedang sibuk dengan persiapan dan latihan bersama anggota Wings yang lain untuk konsert, 'Wings Versi Tanpa Distortion' pada 8 Jun ini, bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa (PICC). |
ADVERTISEMENT