PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin begitu kesal apabila single lagu terbaharunya Jaga Dia Untukku yang dipasarkan menerusi iTunes pada 3 April lalu telah dicetak rompak. Siti, 35, berkata, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menghubungi syarikatnya iaitu Siti Nurhaliza Production bagi memaklumkan lagu tersebut boleh dimuat turun secara percuma tanpa sebarang urusan pembelian di beberapa laman internet. "Ini sesuatu yang sangat mengecewakan kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesusahan pihak lain yang menghasilkan lagu tersebut. "Saya sendiri telah turun padang mempromosikan lagu ini secara eksklusif di radio Hot FM pada 3 Mei lalu. "Malah para peminat saya juga mendapatkan lagu ini dengan melanggan di iTunes. Tetapi pada masa sama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab `mencuri' hasil kerja orang lain," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Tambah Siti, walaupun isu cetak rompak sudah lama menjadi masalah tetapi beliau berharap agar peminat atau penyokong industri muzik diberi kesedaran mengenai kesalahan dan impak sesebuah lagu yang dimuat turun secara haram. "Jika saya sahaja yang berusaha memantau hal ini memang sukar. Bagi saya, semua pihak yang bertanggungjawab harus ada peranan masing-masing. Saya juga sering mengingatkan para peminat untuk mendapatkan album atau single saya dengan cara yang sah dan asli," ujarnya. Bagaimanapun Siti berkata, dia bersyukur mengenai perkembangan penjualan lagu Jaga Dia Untukku yang mendapat kedudukan pada carta pertama di iTunes Malaysia. Siti juga gembira kerana masih ada lagi masyarakat yang memberi sokongan terhadap industri muzik tempatan. Sementara itu, Presiden RIM iaitu Norman Abdul Halim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan serius terhadap isu lagu-lagu tempatan yang dicetak rompak secara digital. "Bukan hanya lagu Siti, tetapi mana-mana penyanyi yang membuat laporan mengenai isu ini, pihak kami akan mengambil tindakan yang serius. "Setakat ini, RIM turut bekerjasama dengan pihak polis serta syarikat perisian komputer untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab itu," tegasnya. Jaga Dia Untukku adalah ciptaan Aubrey Suwito dan lirik hasil tulisan Rozisangdewi. Ia dirakamkan pada Januari 2014.
|
awanindah posted on 8-5-2014 08:31 AM
Siti ni baru bangkit tidoq ke hapa??
Dah memang resam pun lagu ka filem baru kene cetak rompak . ...
ADVERTISEMENT