LUMRAH kehidupan selebriti, kebanyakan daripada mereka tidak pernah terlepas daripada kontroversi dan masalah peribadi. Bukan sahaja kontroversi yang boleh menjejaskan nama, malah ada dalam kalangan mereka tanpa segan silu mempamerkan perangai 'sebenar'. Bukan sahaja soal pemakaian, malah ada juga segelintir daripada mereka turut terlibat dalam gejala buruk termasuk gemar berpesta, terlibat dengan pengambilan dadah dan alkohol. Walaupun dunianya satu ketika dahulu 'hitam' dan didampingi rakan-rakan artis yang sedemikian, namun istiqamah selebriti ini wajar diberi pujian. Hampir dua tahun berhijrah, pelakon dan pengacara ini bagaimanapun masih menjadi pemerhati industri dan rakan-rakan artisnya yang masih berada dalam kepompong yang sama. Akui Yatt, 34, kadang kala, dia sendiri merasa sedih apabila berita-berita mengenai selebriti Melayu Islam terpampang di dada akhbar mengenai perkara-perkara yang mengaibkan. "Walaupun saya tidak seteruk itu di satu masa dahulu, namun saya pernah jahil dan jahat. Saya pernah mendedahkan aurat saya untuk tatapan orang lain. "Namun, kalau kita tutup aib orang, ALLAH SWT akan tutup aib kita. Namun, ramai dalam kalangan kita sedia mendedahkan aib sendiri. Saya sendiri tidak tahu untuk melabelkannya. "Pun begitu, sebagai manusia, kita bukanlah penghukum dan penilai. Doakan sahaja mereka berubah dan sedar," katanya lagi. Tambah Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah ini, perkara yang turut meruntun hatinya juga adalah laman sosial. "Saya sedih melihat peminat dan pengikut laman sosial bergaduh di alam maya kerana berbeza haluan. Ada yang menyebelahi dan ada yang membangkang tindakan selebriti. "Saya sendiri tak tahu adakah selebriti itu sendiri membaca komen-komen dan pergaduhan peminat mereka. Namun, bagi saya, adalah tidak elok jika kita bersubahat dan menyokong perkara yang tidak baik. "Ada baiknya jika kita berdoa agar mereka berubah dan jika mahu menegur, gunalah platform yang tidak mengaibkan seseorang contohnya, secara personal di 'inbox'," saran Yatt. Tolak tawaran lakonan? Bertanya mengenai perkembangan kerjayanya pula, Yatt mengakui jadualnya amat padat dengan beberapa aktiviti. Menurut Yatt, hampir setiap hari, dia akan terlibat dalam program motivasi dan dakwah di beberapa lokasi termasuk institut pengajian tinggi (IPT), kementerian dan masjid. "Alhamdulillah, hari-hari yang saya lalui berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan hari-hari terisi dengan pelbagai aktiviti. "Selain program motivasi dan dakwah, saya juga turut mengusahakan butik pakaian Muslimah, Suci By Yatt Hamzah. Malah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. "Selain itu, saya juga terlibat dengan beberapa NGO termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan program, Amal Palestin, kutipan dana untuk Rohingya dan Mesir," katanya. Walaupun sibuk dengan aktiviti dakwahnya, namun Yatt masih menerima tawaran dalam bidang lakonan. Jelas Yatt yang juga pengacara untuk program, Al-Hidayah, di saluran TV3, dia kini perlu lebih selektif dalam pemilihan naskhah dan watak. "Alhamdulillah, walaupun saya sudah berhijrah, namun rezeki dalam lakonan masih ada. Namun, saya berhadapan dengan kekangan masa. "Setiap tawaran yang diterima, saya kena rujuk pada jadual saya terlebih dahulu dan sebelum ini beberapa tawaran terpaksa ditolak kerana jadual yang padat. "Kalau dulu, saya meletakkan lakonan sebagai pekerjaan utama, kini aktiviti dakwah dan kebajikan lebih menjadi keutamaan," katanya lagi. Bantu selebriti berhijrah Walaupun penghijrahan itu membawa perubahan kepada kehidupan yang lebih baik, namun akui Yatt, ada dalam kalangan selebriti turut berdepan dengan masalah dalam industri. Menurut Yatt, tidak kurang juga pihak yang tidak bertanggungjawab turut melabelkan artis yang berhijrah terlibat dalam parti pembangkang. Malah, peluang untuk artis bertudung beraksi dilayar juga semakin tipis apabila produksi kurang memberi ruang kepada golongan ini. "Saya bersyukur kerana peluang saya dalam industri masih ada. Namun, saya menerima banyak keluhan daripada artis yang berhijrah mengenai peluang mereka untuk bekerja. "Malah, ada yang beranggapan, artis bertudung labuh ini lebih memihak kepada pembangkang walaupun kami tidak pernah mencampuri urusan parti. Saya juga turut menerima tuduhan atas perkara yang sama. "Selain itu, sekiranya kami terlibat dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang, ada yang terus menuduh kami terlibat dalam agenda politik," katanya yang terus mengambil langkah berdiam diri dari melayan tuduhan yang dilemparkan sejak dahulu lagi. Atas dasar prihatin terhadap golongan selebriti berhijrah yang terpinggir, Yatt yang juga ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), merancang untuk membantu rakan-rakannya. Jelas ibu kepada Suci Hanania, 4, ini, dia bakal bekerjasama dengan Yadim untuk menubuhkan NGO untuk memberi ruang kerja untuk rakan selebriti. "Perkara ini masih dalam perancangan dan Insya-ALLAH, jika tiada tiada halangan, ianya bakal dimulakan pada sambutan Bulan Dakwah Negara, pada Mei ini. "Dalam program ini, kita akan bekerjasama dalam menerbitkan beberapa projek termasuk teater dan projek yang berlandaskan Islamik. "Saya sangat-sangat berharap agar program ini dapat dilaksanakan kerana saya perlu berbuat sesuatu untuk membantu dan menjaga kebajikan artis-artis yang berhijrah," katanya.
|
kukulangau posted on 2-5-2014 10:06 AM
yang penting sekali tutup aib diri sendiri
kalau artis2 sendiri tidak melakukan perkara yang boleh ...
ADVERTISEMENT