Setelah lebih dua dekad mengabdikan diri sebagai anak seni dalam industri muzik tempatan, Ziana Zain (ZZ) tetap utuh di kelas tersendiri. Buktinya meskipun kini hampir menginjak usia 46 tahun, diva bersuara lantang ini masih terus menjadi penghibur kesayangan ramai peminat tanah air mahupun luar negara seperti di Singapura. Sebagai tanda terima kasih dan adia buat peminat, Ziana Zain bakal tampil dengan konsert meganya yang diberi nama 'I Am Ziana Zain'. Umpama impian jadi kenyataan, itu luahan ibu anak empat ini selepas beliau di datangi pihak penganjur iaitu sebuah syarikat penjualan kereta yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan hiburan, Golden Earth Pictures yang optimis dan mahu bertanggungjawab dalam merealisasikan konsert mega beliau.
. Dan satu kelainan yang dibawakan oleh diva kesayangan ramai ini, konsert itu nanti akan berlangsung di negeri kelahirannya, di negeri bersejarah Melaka iaitu lokasinya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 27 September 2014. "Saya bersyukur dan sangat berbesar hati kerana akhirnya impian saya selama ini akan menjadi kenyataan apabila pihak penganjur menyatakan hasrat mereka untuk merealisasikan konsert saya. Saya tak sangka pada usia begini, masih ada pihak yang percaya dengan saya kewibawaan saya. Konsert ini juga sebagai hadiah saya kepada para peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong saya. Ini juga berkat doa mereka yang sentiasa menyuarakan hasratt mahu menyaksikan konsert saya. "Selama ini peminat sedia dihadapkan dengan banyak konsert lain di Kuala Lumpur. Jadi sebagai memberi kelainan saya memilih Melaka. InsyaAllah ini sebagai permulaan dan sekiranya ada peluang dan rezeki, saya berhasrat membawa konsert saya ini ke negeri lain pula dan mungkin kemuncaknya akan diadakan di Kuala Lumpur nanti. Semoga konsert di Melaka ini akan membuka jalan lebih luas untuk saya pada masa akan datang", kata Ziana Zain penuh teruja ketika ditemui pada sidang media mengumumkan komsertnya ini bertempat di hotel Royal Chulan Damansara, semalam. Bakal berlangsung selama dua jam, difahamkan konsert 'I Am Ziana Zain' menelan kos sekurang-kurangnya RM730,000 termasuk kos promosi. Pada konsert yang akan diketuai oleh pengarah muzik berpengalaman, Aubrey Suwito ini, Ziana akan mendendangkan sebanyak 22 lagu hits petikan dari album pertamanya hingga terkini termasuk satu single baru istimewa buat para penonton. Selain itu, persembahan penyanyi yang cukup popular dengan lagu 'Madah Berhelah' dan 'Puncak Kasih' ini akan diiringi oleh 22 pemuzik okestra. Berkonsepkan dramatik, penonton juga akan dipersembahkan dengan beberapa kejutan sekaligus memberikan hiburan maksimum kepada pembeli-pembeli tiket. Ziana Zain bersama pihak penganjur (kiri) dan pengarah muzik, Aubrey Suwito dan koreografer Shazlan Mat Amin. "Saya akan nyanyikan lagu dari album pertama hingga yang terbaru termasuk lagu yang saya tak pernah berkesempatan nak nyanyikan di mana-mana persembahan saya sebelum ini. Saya juga teruja dapat bekerja sama dengan pengarah muzik yang saya sangat kagumi iaitu Aubrey Suwito. Dah lama saya nak bekerjasama dengan beliau. Jadi dari segi susunan muzik saya serahkan pada kepakaran dan kretiviti beliau untuk mencantikkan lagi melodi pada lagu-lagu saya. "Selain itu pada malam tersebut, ada beberapa kejutan untuk peminat. Saya juga akan mengundang penyanyi jemputan istimewa saya. Siapa? Tunggu pada malam itu nanti. Saya juga akan pastikan pada malam itu, peminat akan dibuai dengan dendangan lagu-lagu saya sekaligus mengembalikan nostalgia mereka yang bersama saya sejak awal pembabitan saya dalam industri hinggalah kini", katanya yang kali terakhir mengadakan konsert ialah pada tahun 2001 iaitu 'ZZ in the Park' yang berlangsung di PWTC..
|
ADVERTISEMENT