Gandingan pertama Faizal Hussein, Nora Danish BUAT julung kalinya filem terbitan Mangkin Prestij ini menggandingkan pelakon senior berbakat besar, Faizal Hussein bersama aktres, Nora Danish. Turut sama membintangi filem ini ialah Atikah Suhaimie, Niezam Zaidi, Epy Kodiang, Along Ezyendy dan muka baharu, Pablo Amirul. Menjalani penggambaran sejak 22 Mac lalu, filem ini mendapat sentuhan Eyra Rahman dengan mengetengahkan elemen seram sebagai satu kelainan menerusi karya baharunya itu. Menurut Eyra, filem ini mengisahkan pasangan suami isteri Anwar (Faizal) dan Zarra (Nora) yang mengalami pelbagai kejadian mistik selepas membeli sebuah gudang untuk perniagaan jubinnya. "Segalanya sempurna bagi pasangan ini pada mulanya, namun tidak menduga bahawa gudang tersebut menyembunyikan satu rahsia. "Kehadiran pasangan ini juga tidak disenangi 'sesuatu' yang sekian lama mendiami gudang kosong itu," ujarnya ketika majlis doa selamat filem Gudang Kubur di Wisma Metrowealth, baru-baru ini. Katanya, Anwar mengalami pelbagai gangguan sehingga rumah tangga mereka goyah dan Zarra sering menjadi mangsa keberangan suaminya itu. Perbuatan si suami yang agak keterlaluan itu membuatkan Zarra mula menjauhkan diri. "Saya memfokuskan mengenai kehidupan suami isteri yang menjadi mangsa mistik setelah membeli bangunan kosong untuk perniagaan mereka. "Di samping itu, dua pekerja mereka, Atan dan Ali turut mengalami kejadian misteri sehingga Atan dituduh cuba memperkosa Zarra," katanya yang masih penggambaran berjalan di sekitar Lembah Klang dan dijangka tamat pada 8 April ini. Nora jadi 'anak emas'? Dalam pada itu, Eyra turut mengulas mengenai pemilihan Nora Danish sebagai pelakon utama dalam filem arahannya, selepas empat filem terdahulu, Aku Terima Nikahnya, Dua Kalimah, Pengantin Malam dan Bencinta. Kekerapannya mendapatkan khidmat aktres itu menimbulkan spekulasi bahawa Nora Danish adalah merupakan pelakon kesayangannya. "Tiada istilah anak emas dalam perkara ini. Saya selesa bekerjasama dengan Nora mahupun pelakon-pelakon yang ada. "Dia (Nora) seorang pelakon matang dan tidak masalah disiplin di set lokasi," ujarnya. Tambahnya, Nora bukan sahaja berlakon dalam filem arahannya sahaja tetapi dia juga pernah muncul dalam filem MiG yang lain. Tegas Eyra, kekasih Nedim Nazri itu beri sepenuh komitmen dan pemahaman yang baik sepanjang penggambaran dijalankan. Manakala bagi Faizal Hussein pula, ia merupakan pertama kali mereka bekerjasama di bawah satu bumbung. Ditanya mengenai keistimewaan Hero Malaya itu, Eyra berkata dia mahukan pelakon lelaki yang lebih matang dan berpengalaman berbanding heroin. "Apa yang menarik tentang Faizal adalah dia seorang yang komited dengan peranannya dan sangat menghormati masa. "Biarpun ia kali pertama dia berlakon genre seram, saya begitu kagum dengan kesungguhannya menghayati watak sebagai seorang suami," katanya. Sambungnya, Eyra berpendapat bahawa pelakon Gila-Gila Remaja itu mampu menarik penonton dengan aura tersendiri dan yakin bahawa dia akan memberikan kelainan untuk filem tersebut. Cabaran bawa 'perut' Menceritakan pengalamannya mengarahkan filem ini, Eyra berkata cabaran yang dihadapi dua kali ganda, memandangkan dirinya kini sedang sarat mengandung. "Usia kandungan saya kini mencecah lapan bulan dan agak membatasi pergerakan saya. "Sebelum memulakan penggambaran, saya sudah mendapatkan pengesahan doktor untuk meneruskan kerja pengarahan dan berharap semuanya lancar," ujarnya. Tambahnya, dia bernasib baik kerana kru produksi memahami keadaannya itu. "Saya bersyukur mereka faham dengan apa yang saya nak apabila berada di lokasi. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memudahkan kerja saya," katanya. Selain keadaan dirinya, Eyra berkata cabaran lain dihadapinya adalah cuaca tidak menentu merupakan perkara biasa. "Cuaca panas yang melanda negara kita membuatkan para pelakon kurang selesa. Kadang kala hujan turun membuatkan kami terpaksa menangguhkan penggambaran sehingga hujan reda," ujarnya.
|
ADVERTISEMENT