SEBELAS hari telah berlalu, namun misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines (MAS) masih belum terungkai. Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, masih lagi berjalan seperti biasa. Nasib 227 penumpang termasuk dua bayi, dan 12 kru kabin masih lagi belum diketahui. Berikutan musibah yang menimpa, orang ramai tetap tidak berputus harap dan terus berdoa agar kesemua penumpang dan kru pesawat itu dapat ditemui dengan selamat. Bahkan, golongan penggiat seni tanah air juga tidak terkecuali dalam memberikan tanda sokongan dan harapan buat pesawat MH370. Mengharap Cinta tribute MH370 Jika pendatang baru dalam dunia nasyid, Amar atau nama sebenarnya, Arif Muazzim Abdul Rahman mencipta lagu Pray For MH370 bagi meluahkan rasa sedihnya, berbeza pula bagi penyanyi, Sharifah Zarina. Penyanyi Harapan Berbunga Realiti ini menghasilkan tribute buat pesawat MH370 menerusi lagu baharunya, Mengharap Cinta ciptaan sepenuhnya oleh bekas peserta Vokal Bukan Sekadar Rupa, Mafa. Bicaranya, dia terpanggil untuk membuat sendiri klip video itu selepas dihubungi stesen radio untuk memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa. “Selepas lagu berkenaan diputarkan di radio, baru saya sedar yang liriknya sangat dekat dengan situasi yang berlaku sekarang. “Saya mendengarnya sambil menangis apabila terkenangkan peristiwa itu,” katanya ketika dihubungi Zass. Tambahnya, dia turut memuat naik video itu di laman sosial YouTube dan tidak menyangka ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. “Bukan saja tarik ramai penonton (viewer) tapi ada juga yang turut berkongsi di laman sosial masing-masing,” katanya. Begitu pun, katanya, dia tidak berhasrat untuk menjadikan video berkenaan sebagai klip video rasmi bagi lagu itu. Awi Rafael kumpul makanan & minuman Difahamkan , artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman, Warner Music (Malaysia) kini berusaha mengumpul minuman, makanan dan barang kegunaan lain untuk didermakan kepada petugas yang terbabit dalam misi pencarian MH370. Ketika ditanya pada salah seorang artis naungannya, Awi Rafael memberitahu, dia bersedia untuk memberi sokongan penuh dan jitu. Jelasnya, walaupun dia masih belum mendapat sebarang butiran lanjut mengenainya, namun dia tahu ini adalah satu usaha yang positif. “Saya bangga dengannya dan bersedia untuk memberi komitmen. “Sekurang-kurangnya kita mencuba untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan atau sokongan moral,” kata penyanyi Kalau Aku Kaya ini. Dia yang juga komposer turut berhasrat untuk mencipta sebuah lagu khas buat MH370. Walls of Hope Daphne Iking Siapa sangka, pelakon filem Belukar, Daphne Iking banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Daphne adalah salah seorang ahli badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian For Malaysia. Demi menunjukkan tanda sokongannya itu, Daphne melalui NGO berkenaan membuat satu 'tembok harapan’ (Walls of Hope) pada hampir semua pusat membeli belah di seluruh negara. Katanya, menerusi Walls of Hope itu, orang ramai boleh menulis harapan, doa dan sokongan untuk penumpang dan kru kabin serta keluarga pesawat terbabit. “Antara pusat membeli belah yang terlibat ialah Pavilion, Fahrenheit 88, One Utama, MidValley Megamall , Bangsar Village dan Bangsar Shopping Centre di Kuala Lumpur. “Lain-lain termasuklah Mesra Mall di Kuala Terengganu, Kinta City Mall di Ipoh dan Gurney Plaza di Georgetown , Pulau Pinang,” katanya. Luah perasaan menerusi kreativiti: Yasmin Hani Pelakon dan pengacara, Yasmin Hani Richardson menunjukkan tanda simpatinya pada insiden pesawat MH370 dengan menulis setiap patah perkataan yang berbunyi #PrayForMH370 di atas helaian kertas A4. Dia yang mesra disapa sebagai Hani berkata, perbuatan itu dilakukannya bersama-sama pelakon dan kru penggambaran filem Antara Satu, baru-baru ini. Katanya, helaian kertas itu kemudiannya dipegang oleh setiap kru dan pelakon yang terlibat dalam penggambaran filem berkenaan. “Antara artis yang terlibat sama adalah Enot, Dira Abu Zahar dan Remy Ishak. “Selain mengambil foto, kami turut membuat klip video,” kata isteri kepada Sha’arin Razali ini. Selain itu, Hani juga memberitahu, dia turut terlibat dengan satu majlis yang dianjurkan oleh Reshmonu iaitu #UnitedForMH370 di Piazza@ The Curve Mutiara Damansara. “Ia acara untuk kita semua hadiri bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama sekalipun. “Sama-sama berhimpun dan berdoa untuk kesejahteraan penumpang serta kru kabin pesawat MH370 agar mereka pulang dengan selamat,” katanya. Maya Karin tangguh lancar album Pelakon dan penyanyi jelita, Maya Karin mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancaran album terbaharu dan persembahannya demi menghormati dan bersimpati dengan tragedi pesawat MAS, MH370. Dalam satu kenyataan akhbarnya, majlis pelancaran yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini telah ditunda ke tarikh 1 April depan. Pelakon filem Cun itu mendapat berita mengenai tragedi berkenaan ketika berada di kota London atas urusan keluarga juga terkejut dan bersimpati dengan mangsa. “Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang berita ini. Saya amat simpati sekali dan berharap kita semua mendoakan agar penumpang dan anak-anak kapal MH370 semuanya selamat,” katanya.
|
ADVERTISEMENT