|
Edited by barfi at 1-3-2016 07:29 AM
"Isteri saya, Ina akan kembali aktif menyanyi memandangkan anak-anak pun semakin membesar.
"Malah, saya bercadang untuk berduet dengannya menerusi single, Jutawan Pemurah. Insya-ALLAH, ia akan diterbitkan dalam tahun ini," ujar suami Ina Naim, iaitu Suhaimi Saad yang merupakan penyanyi nasyid.
Untuk info, selain bekas ahli kumpulan In-Team, dia kini sibuk menguruskan perniagaannya, Karya Mosus iaitu sebuah syarikat penerbitan karya seni dan pengurusan artis yang ditubuhkan sejak 2007.
"Syarikat ini sudah hampir 10 tahun ditubuhkan. Namun, setakat ini hanya pernah menerbitkan satu album dan single.
"Malah, kita juga masih belum bersedia untuk menguruskan artis lain," ujarnya dipetik sebagai berkata.
Apa yang menarik, selain pasangan suami isteri ini menjadi penyanyi, empat anak mereka iaitu Nurlayla El Ghufrony, Phyrosh El Fadwah, Sallman El Khoyri dan Hadie El Fardie yang berusia di antara dua hingga lapan tahun turut berminat dalam bidang seni.
"Saya juga bertuah apabila dua anak kami, Hadie dan Sallman berminat dalam bidang ini dan sudah merakamkan 10 lagu zikir, doa dan selawat. Album mereka juga akan dikeluarkan pada tahun ini.
"Insya-ALLAH, single duet dan album kanak-kanak itu nanti bakal melihat kebolehan saya sepenuhnya terhadap bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik," tambahnya.
Bagi yang tidak tahu, Suhaimi sudah 10 tahun bergerak secara solo selepas mengambil keputusan berundur daripada kumpulan In-Team.
Hingga kini, dia sudah menghasilkan empat album solo iaitu Kias Cinta (2006), Kalamak (2008), Zikir Selawat dan Doa (2013) dan yang terbaru, Maksud Hidup (2015).
Sementara itu bagi Ina Naim pula, dia kini sudah bersedia menghadapi sebarang kontroversi selepas berpurdah.
"Saya berpurdah selepas diminta oleh suami, sejak 2012 lagi.
"Pada awalnya saya kurang selesa, namun selepas sekian lama saya mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian.
"Saya malas mahu ambil tahu apa yang orang hendak cakapkan. Biarlah orang hendak bercakap apa pun, yang penting saya tahu apa yang saya lakukan.
"Kalau kerana berdakwah, biarlah. Saya sedia terima apa sahaja," katanya.
Sumber: Sinar Harian - Foto Ina FB
|
|