|
Edited by Munah_Sparta at 10-10-2015 11:14 AM
Temui ajal ketika tebang buluh
Mohd Taha Yaacob
10 Oktober 2015
"Saya dapati dia sudah tidak bergerak dan tidak bernyawa, lalu saya ambil keputusan keluar berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk terdekat, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian." - Noriah. Gambar kecil: Ismail
BESUT - Seorang wanita warga emas terpaksa berjalan kaki kira-kira dua kilometer untuk meminta bantuan penduduk kampung selepas suaminya rebah dan meninggal dunia ketika menebang buluh di tepi sebuah ladang kelapa sawit Kampung Padang Buluh, Hulu Besut, di sini, kelmarin.
Wanita terbabit, Noriah Ali, 55, terpaksa berjalan kaki sejauh itu kerana tidak pandai memandu kereta yang dibawa suaminya ke tempat kejadian, sebelum tiba di kawasan penempatan yang terdekat.
Sebelum itu, kira-kira jam 10 pagi, Noriah bersama suaminya, Ismail Mahmud, 58, bergerak dari rumahnya di Kampung Kayu Kelat, Hulu Besut untuk ke tempat kejadian dengan sebuah kereta bagi tujuan menebang buluh untuk membuat pencucuk sate.
Menurut Noriah, sebelum tiba di tempat kejadian, mereka sempat singgah membeli nasi bungkus di Kampung Gong Duek dan kemudian meneruskan perjalanan ke tempat kejadian.
“Setelah menebang kira-kira tiga batang buluh di tepi sungai berhampiran kebun kelapa sawit, kira-kira jam 12 tengah hari, tiba-tiba suami saya terjatuh dan terus tidak sedarkan diri.
“Saya dapati dia sudah tidak bergerak dan tidak bernyawa, kemudian saya ambil keputusan keluar berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk terdekat, kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian,” katanya.
Noriah berkata, orang awam kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis tidak lama selepas itu.
Menurutnya lagi, suaminya disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
“Kejadian itu amat mengejutkan saya kerana suami tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat, walaupun sebelum ini dia memang mempunyai masalah jantung.
“Kami mencari buluh untuk membuat pencucuk sate yang akan dijual di pasar malam pekan Pasir Akar pada malam kejadian,” katanya yang berniaga di pasar malam sekitar Hulu Besut dan mempunyai tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.
Khaled berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.
“Siasatan pihak polis turut mendapati punca kematian mangsa tidak ada kaitan dengan unsur jenayah ataupun khianat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Kata Khaled lagi, mayat mangsa kemudian dituntut keluarga untuk dikebumikan.
sumber - Sinar Harian |
|