PENYANYI terkenal Charlie Puth telah hadir ke kota Manila, Filipina bertemu peminat bermula 30 Oktober lalu. Ketika bertemu media di sana, Puth berkongsi inspirasi menghasilkan album pertamanya berjudul Nine Track Mind yang dijangka dipasarkan bermula awal tahun hadapan.
“Saya telah melalui satu tahun yang ‘gila’ dan saya mahu menghasilkan sesuatu dalam bentuk muzik menceritakan apa yang telah berlaku,” kongsi Puth yang dipetik dari Philippine Entertainment Portal.
Lagu Marvin Gaye, duet bersama Meghan Trainor akan turut dimuatkan dalam album tersebut. Puth terdahulu popular dengan lagu See You Again kolaborasi bersama Wizz Khalifa yang telah menjadi lagu tema filem Fast & Furious 7.
Dalam sidang media itu juga, Puth memberitahu dia sempat mencipta tiga buah lagu ketika berada di Filipina. Kejelitaan wanita Filipina memberi inspirasi Puth untuk menghasilkan karya baru.
“Saya perlu berada di satu tempat untuk menulis lagu. Walau ketika di dalam kapal terbang, akan terhasil satu idea.
“Apabila berada di tempat baru seperti di Filipina, saya sudah pun menulis tiga buah lagu di dalam bilik hotel. Saya ada studio mini sendiri dan lagu-lagu itu adalah inspirasi dari orang Filipina yang baik dan kecantikan wanitanya,” kongsi penyanyi usia 23 tahun ini.
Lagu Marvin Gaye duet bersama Meghan menjadi hit di kebanyakan carta seluruh dunia. -manggaonline-
|