|
‘Saya Tidak Akan Minta Maaf, Saya Tidak Kata Cina Babi’
Posted on September 21, 2015 by Editorial|
Kuala Lumpur – “Saya tidak akan minta maaf, saya tidak kata Cina babi.”
Itu reaksi Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos ketika ditanyakan mengenai desakan MCA Bahagian Sungai Besar, Selangor untuk meminta maaf secara terbuka.
Jelasnya, kenyataan berhubung ‘Cina babi’ itu telah diputar belit pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya tidak bermaksud orang ‘Cina babi’, yang saya maksudkan bila ditanya wartawan ialah komen saya bahawa apa masalahnya babi dengan Cina?
“Saya menafikan yang saya kata Cina babi, dan tidak menjadi masalah haiwan itu dikaitkan dengan orang Cina kerana masalah babi ini hanya dengan orang Melayu kerana orang Islam haram dengan babi. Kenyataan saya diputar belitkan,” katanya kepada sebuah portal online di Sekinchan, Selangor, malam tadi.
Terdahulu, MCA bahagian Sungai Besar menggesa Jamal untuk memohon maaf kerana beliau didakwa mengeluarkan kenyataan ‘Cina babi’ yang menjadi viral di laman sosial.
Menurut Jamal, parti komponen Barisan Nasional itu seharusnya lebih bersikap profesional dengan meneliti terlebih dahulu dan tidak mempercayai segala yang ada di laman sosial.
Jamal yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar berkata, perkara ini adalah salah satu cubaan untuk meniupkan api perkauman di kalangan rakyat Malaysia.
Jelasnya, beliau akan mengadakan satu sidang media minggu hadapan bagi menjelaskan isu ini dengan lebih lanjut.
“Macam lembu, lembu tak ada masalah dengan Melayu. Cuma kalau kita kata Melayu lembu mesti kita marah. Macam itu juga Cina. Bukan Cina babi cuma Cina tak ada masalah dengan babi, kebanyakan orang Cina makan babi. Itu yang saya maksudkan,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu meminta kepada mana-mana pihak supaya tidak mempercayai segala fitnah di media sosial dan mengkaji dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.
|
|